Hiburan Terkini

Intan Liana Reda Diceraikan, Mengaku Masih Sayangkan Suami

IBARAT retak menanti belah, rumah tangga Liana Saleh bersama suami, Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude yang dibina sejak lima tahun lalu sukar diselamatkan lagi.

Ude dijangka melafazkan talak pada 22 Mac depan selepas Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Shaiful Azli Jamaludin menetapkan tarikh tersebut ketika prosiding hari ini.

Pemuzik bebas itu memfailkan permohonan cerai itu pada 30 November 2017 mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang- Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Terdahulu, pada prosiding itu, peguam syarie, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain memaklumkan anak guamnya, Ude dan Intan selaku defendan bersetuju bercerai secara baik.

Justeru, Mohd Zaidi memohon tarikh baharu bagi kedua-dua pihak berbincang menyelesaikan beberapa isu tuntutan selepas penceraian termasuklah nafkah dan hak penjagaan anak.

Ude hanya berdiam diri selepas diasak dengan pelbagai soalan daripada pemberita. Manakala Intan pula mengaku masih sayangkan suaminya.

Namun, dia tidak tahu apa salahnya sehingga menyebabkan suaminya, Ude memfailkan permohonan cerai terhadapnya.

“Sehingga hari ini, saya masih sayangkan Ude. Bersedia atau tidak, saya terima dan reda lafaz cerai yang akan dibuat suami,” katanya menangis.

Hubungan mereka mula menjadi renggang sejak November lalu.

“Kami sudah tidak sebumbung sejak November lepas dan saya masih menetap di rumah yang disediakan Ude bersama anak-anak,” katanya.

Pemuzik bebas itu mendirikan rumah tangga dengan Liana, 33, pada 2013 dan dikurniakan dua cahaya mata, Arish Muqri,3, dan Areq Muqri berusia setahun.

Pada November lalu, Liana dilaporkan rela bermadu dan akan mempertahankan rumah tangganya setelah mengetahui suaminya telah bernikah dengan pelakon, Izreen Azminda pada 8 Ogos 2017.

Berkaitan: Marah Izreen Kahwin Suami Orang, Instagram Dihujani Kecaman

Izreen kemudiannya membuat pengakuan terbuka, dia sah menjadi isteri kedua Ude dalam satu perkahwinan tertutup di Damansara. –KLICK.MY

Sumber: Sinar Online

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen