Viral

Instagram Silap Dedah Instafamous Guna Jenama Tiruan Digesa Tutup Akaun

BARU-BARU ini kalau anda perasan, tular di media sosial satu akaun Instagram yang mendedahkan beberapa orang selebriti popular memakai jenama mewah tiruan.

Pendedahan daripada Instagram menggunakan nama @streetwearbustamy itu mengundang pelbagai persepsi para netizen.

Antara selebriti atau artis yang menjadi mangsa tuduhan menggunakan jenama mewah tiruan ialah Instafamous Syed Muhammad Syafiq Syed Zakaria, Fathia Latiff, Ismail Izzani, Emma Maembong, Aiman Tino, Zoey Rahman, Janna Nick, Fara Mandoza, Haqiem Rusli dan Ara Johari turut menjadi mangsa penilaian pemilik akaun tersebut.

Kesemua mereka didakwa menggayakan barangan jenama tiruan.

Namun, ibarat menjolok sarang tebuan, Instagram tersebut didapati tersalah mentafsir jenama kasut yang dipakai oleh Syed Muhammad Syafiq Syed Zakaria atau lebih mesra disapa Syed Syafiq lapor mStar Online.

Justeru, merasakan diri dimalukan sedangkan dia memakai kasut jenama original, Syed Syafiq bertindak ‘menyerang’ kembali pemilik Instagram tersebut.

Lebih teruk, pemilik akaun @streetwearbustamy turut didesak untuk memadam akaun Instagram miliknya kerana penilaian yang dibuat telah memalukan dan membuka aib individu yang dijadikan sasaran.

“Saya rasa amat terhina sebab dah habiskan banyak wang untuk beli barangan jenama mewah yang saya suka.

“Tapi dia (pemilik IG @streetwearbustamy) senang je cakap saya pakai barang tiruan. Untuk pengetahuan dia, saya hanya akan beli barang jenama original sahaja.

“Saya seorang yang amat teliti. Jadi saya akan periksa sama ada barangan itu original atau tak sebelum membeli,” jelasnya.

Instafamous itu mendedahkan kasut jenama mewah buatan Itali yang disangka tiruan itu dibeli semasa dia berada di London pada harga 795 pound sterling (RM4,243).

“Kasut tersebut dibeli di sebuah butik di London. Saya bukan nak riak tetapi kebanyakan barangan jenama mewah saya dibeli dari sana.

“Lepas tu senang-senang je kena bash cakap tiruan. Nasib baik saya simpan semua resit pembelian barangan tersebut,” katanya.

Pemuda berusia 20 tahun itu turut meragui penilaian yang dibuat pemilik akaun tersebut yang disifatkan sebagai tiada kredibiliti.

“Dia takkan tahu dengan mudah berdasarkan satu gambar semata-mata, begitu juga jika barangan itu dilihat dari satu sudut dan pencahayaan yang berbeza.

“Kesan pencahayaan dan melalui kedudukan gambar produk itu diambil ada kalanya membuatkan barang jenama original kelihatan seperti tiruan dan juga sebaliknya,” kata Syed Syafiq.

Syed Syafiq berkata dia sudah menghubungi pemilik akaun IG tersebut untuk mendapatkan penjelasan mengenai tindakan tidak beretika itu.

Namun katanya, tiada maklum balas diterima sehingga hari ini.

Pada masa sama, Syed Syafiq turut senada dengan netizen yang mahu akaun @streetwearbustamy dipadamkan. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.