Hiburan

Impian Jadi Realiti, Ruhainies Kini Bergelar Penerbit

TAHNIAH diucapkan kepada pelakon Ruhainies kerana telah bergelar penerbit. Dia diberi peluang untuk menerbitkan telefilem yang akan menjalani penggambaran di Budapest, Hungary.

Ruhainies atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 25, berkata dia tidak menjangka impiannya itu bakal akan menjadi realiti dengan cepat.

“Insya-Allah saya akan terbang ke Budapest pada hari raya keempat untuk jalani dua penggambaran.

“Salah satunya adalah telefilem terbitan saya sendiri. Alhamdulillah, saya bersyukur sangat diberi peluang untuk menerbitkan telefilem pertama.

“Dengan kerjasama syarikat produksi Zeel Production. Saya sudah lama impikan dan tak jangka akan menjadi realiti secepat ini,” kata Ruhainies seperti dilaporkan mStar Online.

Telefilem berjudul Con Girl itu juga merupakan idea sepenuhnya daripada Ruhainies dan dibantu oleh team produksi Zeel Production.

Selain Ruhainies, telefilem tersebut turut dibintangi oleh Idris Khan dan Rita Rudaini.

Menurut Ruhainies, kos penerbitan Con Girl itu adalah daripada hasil titik peluhnya sejak menceburi bidang lakonan.

“Idea karya itu semuanya daripada saya. Tapi skrip ditulis oleh Mar Mohammad dan Haji Zil juga banyak memberi nasihat dan idea.

“Saya sangat teruja sebab ini adalah karya pertama saya dan semuanya daripada hasil titik peluh saya sendiri,” ujarnya.

Selain bergelar penerbit, Ruhainies juga dianggap bertuah kerana diberi tawaran menjadi duta pertama Malaysia untuk produk keluaran dari Korea iaitu Guerisson.

Menurut pelakon drama Tak Cinta Sepertimu ini, dia juga diberi peluang oleh syarikat keluaran produk kecantikan tersebut untuk terbitkan sebuah telefilem.

“Sebelum ini duta produk itu adalah Lee Kwang Soo dan saya adalah duta pertama dari Malaysia.

“Sebelum terima jadi tawaran itu, saya cuba terlebih dahulu produk ni dan hasilnya sangat baik. Insya-Allah kerjasama ini akan berterusan.

“Mereka memberi kepercayaan kepada saya untuk terbitkan drama berkaitan dengan produk itu pula,” katanya.

Murah betul rezeki Ruhainies tahun ini. Semoga dia terus dilimpahi rezeki yang berpanjangan. –KLICK.MY

 

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.