Hiburan Terkini

Ikut Arus, Rita Rudaini Terpaksa Buka Akaun Media Sosial Anak-Anak

MEDIA sosial bukan sahaja terhad kepada orang dewasa tetapi kanak-kanak juga ramai yang mempunyai akaun peribadi mereka sendiri.

Malah, kadang-kadang mereka lebih arif mengenai medial sosial berbanding orang dewasa. Ianya mungkin dianggap perkembangan biasa kerana anak-anak hari ini membesar dalam dunia teknologi moden.

Bagaimanapun pantauan daripada ibu bapa sangat perlu bagi mengelakkan mereka menyalahgunakan teknologi tersebut.

Begitu juga pendirian pelakon jelita, Rita Rudaini dalam melayan permintaan anak-anaknya untuk membuka akaun Instagram (IG).

Dalam temu bual bersama mStar Online, Rita memberitahu dia membuka akaun IG anak-anaknya atas permintaan mereka sendiri.

Bagaimanapun Rita berkata, dia tidak membenarkan anak-anaknya mengendalikan laman sosial tersebut sendiri.

“Saya buka akaun Instagram untuk mereka kerana mereka minta, kawan-kawannya di sekolah sudah ada Instagram dan sering mendesak mereka untuk buka laman sosial itu.

“Jadi saya buka jugalah tapi saya yang kendalikan. Saya tak benarkan dia baca komen, cuma saya akan tanya dulu nak muat naik gambar yang mana sahaja,” ujarnya.

Menurut Rita lagi, semua mesej dan komen menerusi laman sosial anaknya akan ditapis untuk kebaikan mereka.

“Tak boleh, banyak bahaya daripada baiknya, semua komen dan mesej saya akan baca dan balaskan.

“Setakat ini mereka akur dan faham dengan apa juga syarat yang saya letakkan.

“Saya kena tegas bagi mereka takut sedikit. Perkembangan kanak-kanak sekarang berbeza, kadang-kadang kita tidak tahu pun muzik dan lagu-lagu baharu tapi mereka dah kenal artis luar negara.

“Saya sudah pesan mereka hanya boleh cium dan pegang Mummy (Rita) sahaja, perempuan lain tidak boleh. Saya takut pergaulan di sekolahnya terbuka sedikit,” ujar Rita.

Rita dan anak-anak terlibat dalam program baharu berjudul Oh My Family! yang akan bersiaran setiap Rabu, pada pukul 9 malam bermula pada 11 April ini di saluran Astro Ria.

Kedua-dua anak Rita, Airit Rayyan Rizqin, 9, dan Airit Qaqa Arjuna, 7, bersekolah di sebuah sekolah antarabangsa. –KLICK.MY