Hiburan

Ibu Dedah Maksud Tarikh 11 Ogos Yang Disebut Saiful Nizen

BARU-BARU ini dunia hiburan tanah air kehilangan seorang pelakon berbakat, Saiful Nizen Mohd Ayob atau lebih dikenali sebagai Inspektor Nizam dalam drama bersiri Gerak Khas yang meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang.

Berita kematian Nizen mula diketahui umum apabila pelakon Salina Saibi berkongsi berita sedih itu di Instagramnya.

Masing-masing terkejut dengan berita tersebut kerana sebelum ini tidak kedengaran berita mengatakan pelakon ini sedang sakit.

Namun, satu perkara yang menjadi tanda tanya dan turut dikongsi oleh Salina ialah tarikh yang pernah diperkatakan oleh arwah.

Menurut arwah, ada sesuatu yang penting yang akan berlaku pada 11 Ogos nanti. Ramai yang berpendapat tarikh tersebut adalah tarikh perkahwinan arwah.

Menurut laporan Berita Harian Online, tarikh 11 Ogos bukanlah tarikh arwah bernikah tetapi hari ulang tahunnya yang ke-34 seperti yang diberitahu oleh ibu arwah.

“Tarikh 11 Ogos bukan tarikh arwah bernikah, sebaliknya ia adalah hari ulang tahunnya ke-34,” kata Kamisah Nasri, 72, ibu kepada Saiful Nizen.

Menurut Kamisah lagi, arwah yang juga anak bongsu daripada tiga beradik itu tidak mempunyai perancangan berkahwin dalam masa terdekat walaupun mengakui arwah memang mempunyai teman wanita.

Selain itu, Kamisah memberitahu arwah sebenarnya mula jatuh sakit sejak awal Ramadan lalu namun kembali pulih selepas mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta.

Bagaimanapun keadaan sama berulang ketika umat Islam menyambut kedatangan Syawal.

“Melihat keadaannya yang semakin lemah, kakaknya menyarankan untuk mendapatkan rawatan di HSA sebelum ditahan di wad untuk mendapatkan rawatan sehinggalah dia menghembuskan nafas terakhir,” katanya.

Kamisah turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan anaknya serta mereka yang membantu menguruskan jenazah hingga selesai dikebumikan. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.