Gaya Hidup Selebriti Sensasi Terkini

Hero ‘Mr Grey’ Berubat Kampung Selepas Ditimpa Penyakit Misteri

BUAT penonton setia drama berjudul Mr Grey yang sedang hangat ditayangkan di saluran Astro Ria setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam pasti mengenali heronya, Fendy Bakri.

Dalam drama tersebut Fendy bergandingan bersama heroin, Eyra Hazali. Namun berita agak menyedihkan mengenai pelakon berkenaan, apabila dia dikatakan mengalami sakit misteri sejak awal bulan ini.

Pelakon berusia 30 tahun itu dikatakan mengalami sakit kepala serta badan lemah hingga tidak mampu berbuat apa-apa.

Pengurusnya, Fadzil Zahari melalui kenyataan media syarikat pengurusan Prokuya Studios berkata, pihaknya memohon maaf kepada para wartawan kerana terpaksa membatalkan sesi fotografi dan temu ramah pada saat akhir.

“Kami terpaksa batalkan kehadiran Fendy Bakry di beberapa promosi drama Mr Grey kerana dia mengalami sakit secara tiba-tiba selepas habis menjalani penggambaran drama itu di Melaka dan Kuala Lumpur awal April lalu.

“Dia masih mengalami masalah itu sehingga ke hari ini. Fendy sedang menjalani rawatan dan berharap semua mendoakan kesihatannya. Dia ucap terima kasih tak terhingga pada yang sentiasa menyokong dan mendoakannya,” kata Fadzil.

Disebabkan penyakit misteri itu, Fendy dilaporkan terpaksa pulang ke kampung halaman di Perlis bagi menjalani rawatan alternatif.

Fendy dilapor pernah dimasukkan ke hospital kerana mengalami penyakit sama, awal Mac lalu.

Sama-samalah kita mendoakan kesihatan pelakon pelapis ini agar cepat sembuh. –KLICK.MY