Viral

Hati-Hati! 3 Jenis Jus Kesihatan Yang Dilarang Penjualan Oleh KKM

LAMBAKAN pelbagai jenis jus kesihatan sejak akhir-akhir ini dilihat menawarkan pelbagai pilihan kepada pengguna.

Namun, tahukah anda ada jus kesihatan yang tidak menepati piawaian yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) apabila didapati mengandungi bahan terlarang yang membahayakan kesihatan pengguna.

Baru-baru ini KKM memaklumkan hasil pemantauan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan ke atas tiga produk jus kesihatan iaitu Jus Al Sunnah, Jus Al Sunnah Gold dan Jus Penawar keluaran syarikat Sri Saga Marketing S/B mendapati syarikat tersebut tidak wujud, di mana ini melanggar Seksyen 16, Akta Makanan 1983.

Jus Al Sunnah

Di samping itu, hasil analisis mengesahkan ada di antara produk tersebut mengandungi dexamethasone dan prednisolone iaitu bahan steroid yang dilarang di bawah Akta Makanan 1983.

Di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983, menyatakan mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi RM 100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Sehubungan itu, KKM melarang penjualan Jus Al Sunnah, Jus Al Sunnah Gold dan Jus Penawar yang dikeluarkan oleh syarikat Sri Saga Marketing S/B.

Jus Al Sunnah Gold

Semua peniaga termasuk peniaga atas talian yang masih mempunyai stok produk tersebut diarahkan untuk menghentikan serta-merta penjualan semua produk tersebut dan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat untuk tujuan penyitaan.

Dexamethasone dan prednisolone adalah steroid yang poten dan ia digunakan untuk rawatan masalah pembengkakkan dan radang yang serius.

Penggunaan dexamethasone dan prednisolone secara berpanjangan tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh mengakibatkan kesan sampingan serius yang boleh membahayakan kesihatan seperti kelemahan otot, kerapuhan tulang, peningkatan gula dalam darah, tekanan darah tinggi, katarak, peningkatan risiko jangkitan dan sindrom cushing.

Jus Penawar

Pesakit yang menghidap kencing manis adalah berisiko tinggi kerana ia boleh menyebabkan paras gula dalam darah tidak terkawal dan seterusnya boleh mengakibatkan komplikasi yang serius.

Orang awam yang sedang menggunakan produk-produk ini adalah disarankan supaya segera mendapatkan nasihat serta rawatan dari ahli profesional kesihatan.

Pengguna yang telah mengambil produk ini untuk jangka masa yang lama digesa supaya tidak memberhentikan penggunaannya secara mendadak dan turut mendapatkan nasihat serta rawatan dari ahli profesional kesihatan.

Ini kerana ia boleh menyebabkan masalah seperti kekeliruan dan penurunan tekanan darah yang boleh membahayakan kesihatan (akibat withdrawal syndrome).

KKM ingin menegaskan supaya semua makanan yang dijual di negara ini perlu mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya. Adalah menjadi tanggungjawab pihak terlibat seperti pengilang, pembungkus, pengedar, ejen pemasaran dan penjual untuk memastikan produk makanan yang dijual mematuhi perundangan makanan.

KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau hubungi KKM melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.