Gaya Hidup Terkini

Hari Wanita, Wanita Arab Saudi Gembira Dibenar Berjoging

SEKUMPULAN wanita di Jeddah, Arab Saudi kelmarin meraikan Hari Wanita Antarabangsa dengan melaksanakan kebebasan baru yang diberikan kepada mereka iaitu hak untuk keluar berjoging.

Dengan memakai jubah yang disesuaikan untuk bersukan, wanita berkenaan bersorak kegembiraan ketika berlari di sepanjang lorong sambil diperhatikan pemilik kedai yang kebingungan.

Walaupun kerajaan sudah memperkenalkan pendidikan jasmani kepada remaja perempuan tahun lalu dan mula memberikan lesen untuk mewujudkan kelab sukan wanita, tetapi masih ada juga yang kehairanan melihat wanita berkenaan berjoging di tempat awam.

“Ini adalah permulaan revolusi untuk wanita di Arab Saudi. Semuanya akan berubah untuk kami termasuk dalam pekerjaan, kehidupan dan masyarakat,” kata seorang peserta acara itu yang juga pelajar universiti, Sama Kinsara.

Wanita di negara ini mengalami perubahan besar selepas Putera Mahkota Mohammed bin Salman menarik beberapa sekatan utama ke atas hak mereka.

Wanita kini boleh menonton perlawanan bola sepak di stadium, mengambil bahagian dalam acara sukan dan akan dibenarkan memandu kereta menjelang Julai depan.

Namun, Arab Saudi masih antara negara yang mempunyai undang-undang paling ketat untuk wanita di dunia.

Ini kerana tiada wanita yang dilantik menjadi menteri dan masih mengekalkan sistem yang mengharuskan wanita mendapatkan kebenaran mahram untuk membuat keputusan penting. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.