Hiburan Terkini

Hail Amir Ditahan Di Hospital Kerana Masalah Jantung

PENYANYI popular era 1970-an, Hail Amir, 63, dipantau rapi oleh doktor selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU) Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Semalam, penyanyi popular dengan lagu Wajah Kesayangan Hamba itu dikejarkan ke hospital selepas mengadu sakit dada dan ditahan di wad dipercayai akibat masalah jantung.

Anak sulungnya Chinta Fifi berkata, ayahnya sedang berehat di rumah apabila sekitar jam 10 malam, dia tiba-tiba mengadu sakit dada.

“Alhamdulillah papa sekarang okay dan berada dalam keadaan sedar. Buat masa ini dia dipantau doktor, sudah menjalani ujian darah serta sinar X (X-ray). Kami sedang menanti keputusannya.

“Kami belum pasti bila papa akan dibenarkan keluar, biarlah doktor menjalankan tugas merawatnya sehingga benar-benar pulih,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya lagi, buat masa ini pihak keluarganya tidak boleh menerima sebarang lawatan tetamu kerana mahukan Hail berehat.

Selain menyanyi solo, Hail juga dikenali sebagai pasangan duet Uji Rashid. Mereka popular dengan banyak lagu antaranya Menunggu Nasi Minyak dan Antara Matamu Dan Mataku. –KLICK.MY

Sumber: Harian Metro

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen