Hiburan Sensasi Terkini Viral

Hafiz Hamidun Berang Nama Diguna Tanpa Kebenaran

Seringkali juga kita dengar nama artis digunakan tanpa kebenaran empunya badan. Terbaru, kes melibatkan penyanyi nasyid dan komposer terkenal, Hafiz Hamidun apabila pihak gedung pakaian terkemuka, Kamdar telah menggunakan namanya.

 

Gedung pakaian itu telah menggunakan namanya untuk salah satu produk mereka. Apa yang menyebabkan penyanyi ini berang, namanya telah digunakan tanpa persetujuannya.

Melalui Twitternya, Hafiz telah memuat naik gambar jenis kain yang diberi nama Hafiz Hamidun Kain Baju Melayu Shine 44″ itu untuk membuktikan bahawa perkara itu memang berlaku.

Walaupun telah diberi amaran dan tempoh, namun syarikat tekstil itu gagal memberi tindak balas yang diharapkan. Justeru, Hafiz melalui peguamnya tidak teragak-agak membawa kes tersebut ke mahkamah.

Namun, apa yang menjadi persoalannya, sebenarnya nama Hafiz sudah digunakan oleh Kamdar setahun yang lalu dan tidakkah penyanyi ini sedar akan hal itu?

Hal ini disedari kerana ada satu posting daripada peminatnya yang bertarikh 7 Mac 2016. Peminat yang dikenali sebagai @umairahabdurraz menyatakan dia berasa teruja kerana kain yang dijual diberi nama sempena nama artis kesukaannya.

Moga kes ini dapat diselesaikan dengan cara yang baik. Tak salah kalau kedua-dua pihak yang mempunyai peminat yang ramai ini bekerjasama. Namun, janganlah ambil kesempatan dan menggunakan nama artis untuk mengaut keuntungan seorang diri.

Memanglah nama tersebut bukan milik artis itu seorang, namun apabila menyebut nama tersebut sudah tentu masyarakat mengenallinya. Kalau nama itu bukan nama artis seorang, kenapa tidak guna sahaja nama Peah atau Senah?-KLICK.MY