Terkini Viral

Hanya Lukis.. Guru Ajar Teknologi Komputer Tanpa PC

SEORANG guru yang mengajar teknologi komputer tanpa menggunakan komputer telah menjadi bualan di media sosial.

Lelaki ini yang mengajar di Ghana, hanya menggunakan papan hitam untuk membuat gambarajah khusus mengenai program Microsoft Word.

Selepas gambarnya dikongsi oleh ribuan orang di internet, Microsoft berjanji akan menghantar beberapa peralatan komputer baharu untuk sekolahnya.

Guru berusia 33 tahun ini mengajar subjek Teknologi Maklumat dan Komunikasi di Betenase M/A Junior High School di bandar Sekyedomase yang terletak kira-kira dua setengah jam di utara bandar Ghana, Kumasi.

Dia telah menjadi guru di sekolah itu selama enam tahun.

Dalam satu posting Facebook Akoto menulis: “Mengajar ICT di sekolah Ghana sangat lucu. ICT di papan hitam. Saya sayangkan pelajar saya jadi saya perlu buat apa sahaja asalkan mereka faham apa yang diajar.”

Sekolah tempat Akoto mengajar tidak mempunyai sebarang komputer sejak tahun 2011 walaupun ianya satu satu keperluan bagi pelajar untuk lulus peperiksaan Teknologi dan Komunikasi yang merupakan antara syarat untuk menyambung pelajaran ke sekolah menengah.

Ramai yang menyatakan kekaguman terhadap dedikasi Akoto apabila postingnya mulai tular sekitar pertengahan Februari lalu.

Akoto memberi komen tentang postingnya yang tersebar luas: “Itu bukan kali pertama saya melukis tentangnya dan itulah yang memang saya lakukan ketika mengajar di kelas.

“Saya suka memuat naik gambar di Facebook untuk berkongsi perasaan tentangnya. Tak tahu pula ianya akan mendapat perhatian seperti ini”.

Ahad lalu, usahawan Rebecca Enonchong menghantar tweet tentang kisah Akoto yang mengajar tentang penggunaan produk tanpa mempunyai akses kepada produk itu sendiri kepada Microsoft Africa dengan nota: “Sudah tentu anda boleh bantu pemuda ini dapatkan beberapa sumber yang sesuai?”

Hasilnya, dua hari kemudian Microsoft berjanji untuk menghantar sebuah komputer kepada Akoto dan memberikan akses kepada bahan pendidikannya.

Akoto bagaimanapun memberi komen, sekolahnya memerlukan sekitar 50 komputer.

Walaupun dia mempunyai komputer riba peribadi dia tidak akan menggunakannya untuk mengajar kerana ciri-cirinya berbeza dengan apa yang ada dalam sukatan pelajaran rasmi yang memerlukan dia mengajar bahagian lain seperti unit sistem dan monitor, selain langkah-langkah menyambungkannya. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.