Gaya Hidup Jenayah

Guru Agama Didakwa Atas Tuduhan Mencarut, Aibkan Tunang

JIka anda rasa diri diaibkan dengan perkataan tak kira menerusi lisan mahupun penulisan, jangan takut untuk membuat laporan polis kerana perbuatan itu boleh menyebabkan si pelaku didakwa.

Semalam seorang wanita yang merupakan mangsa, berjaya ‘mengheret’ tunangnya ke mahkamah untuk didakwa atas dakwaan mengaibkan dirinya melalui pesanan di aplikasi Whatsapp.

Tunangnya seorang guru agama dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya semalam atas tuduhan mengaibkan kehormatannya dengan mencarut melalui aplikasi Whatsapp, dua minggu lalu.

Tertuduh, Mohammad Azizi Iqmal Abdullah, 41, seorang lelaki mualaf, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan ke atasnya di hadapan Majistret Nurshahirah Abd Salim.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengaibkan tunangnya yang berusia 37 tahun dengan menghantar mesej yang mengandungi perkataan mencarut dan menghina melalui WhatsApp.

Tertuduh juga menghantar mesej, yang antaranya berbunyi ‘ko siap ko, aku akan bunuh ko, anak ko, aku bunuh diri aku sekali, ko tengok apa aku buat, ko tengok’.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kondominium Koi Tropika, Batu 13 1/2, Jalan Puchong, di sini, pada jam 9.15 malam, 28 Januari lalu.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Abu Arsalnaa Zainal Abidin, tidak menawarkan sebarang jaminan kerana ketiadaan penjamin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 14 Mac depan untuk sebutan semula kes. –KLICK.MY

Sumber: BH Online

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.