Viral

Gurauan Melampau Punca Kanak-Kanak Terperangkap Dalam Mesin Basuh

SEORANG kanak-kanak berdepan detik cemas apabila terperangkap hampir 10 mini dalam mesin basuh pakaian di sebuah kedai dobi layan diri di Bukit Sentosa, Rawang.

Kejadian yang berlaku tengah malam kelmarin itu dikatakan berpunca daripada gurauan melampau bapa saudaranya yang menyumbat kanak-kanak tersebut ke dalam mesin basuh.

Perbuatan bapa saudaranya itu tidak disedari ibu kanak-kanak berkenaan yang datang membasuh pakaian di kedai dobi itu.

Bagaimanapun, gurauan lelaki itu mengundang padah apabila pintu mesin basuh berkenaan tidak dapat dibuka menyebabkan kanak-kanak berkenaan terperangkap di dalamnya.

Malah, video kejadian itu yang berdurasi dua minit 46 saat turut tular di media sosial memaparkan beberapa individu cuba menyelamatkan kanak-kanak berkenaan.

Kanak-kanak itu hanya dapat diselamatkan selepas beberapa individu yang berada di lokasi kejadian memecahkan cermin pintu mesin basuh berkenaan selepas usaha membuka pintu mesin itu tidak berhasil.

Menurut pemilik kedai dobi berkenaan, Hazmal Hassan, dia ada menerima panggilan daripada bapa kanak-kanak berkenaan yang menghubungi pengurusnya bagi menyelesaikan masalah serta ganti rugi akibat kejadian yang berlaku lapor Sinar Harian Online.

Katanya, berdasarkan maklumat diterimanya, kanak-kanak itu datang ke kedai dobinya bersama ibu serta bapa saudaranya untuk mencuci pakaian.

“Berdasarkan maklumat yang saya terima, kanak-kanak itu bergurau dengan bapa saudaranya yang berusia lingkungan umur 20-an.

Secara tiba-tiba, lelaki itu memasukkan kanak-kanak itu ke dalam mesin basuh sebelum pintu mesi terkunci dan tidak dapat dibuka,” katanya.

Hazmal berkata, beberapa pekerja restoran yang terletak bersebelahan kedai dobinya kemudian cuba membantu untuk membuka pintu mesin basuh berkenaan namun tidak berjaya.

Katanya, oleh kerana pintu mesin itu tidak dapat dibuka, mereka bertindak memecahkan cermin pintu mesin basuh itu untuk menyelamatkan kanak-kanak itu.

Menurut Hazmal, kanak-kanak itu bernasib baik berikutan mesin berkenaan tidak berputar mungkin disebabkan terlebih muatan.

Katanya, susulan kejadian itu, dia membuat satu laporan polis agar tindakan serta siasatan dapat dijalankan berikutan kejadian itu boleh mengancam nyawa kanak-kanak berkenaan. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.