Gaya Hidup Terkini

Gempar, Pentas Fesyen Dipenuhi Lelaki Bertopeng Babi

PASTI anda terkejut tatkala menunggu barisan model keluar menggayakan jenama pakaian di pertunjukan fesyen, tiba-tiba yang keluar adalah beberapa model yang ditemani lelaki-lelaki bertopengkan babi.

Perkara itu benar-benar terjadi di sebuah pertunjukan fesyen bersempena Minggu Fesyen New York: The Shows yang merupakan idea Myriam Chalek iaitu pengarah kreatif American Wardrobe.

Model-model yang berjalan di atas pentas peragaan masing-masing ditemani lelaki yang memakai topeng babi dengan tangan digari.

Pertunjukan fesyen yang diilhamkan kempen #MeToo ini, menampilkan model yang pernah mengalami serangan atau gangguan seksual.

Menurut Chalek, dia mahu menggunakan labelnya sebagai platform untuk memberi manfaat kepada wanita.

“Gerakan #Metoo adalah pergerakan oleh wanita untuk wanita.

“Saya mempunyai tanggungjawab untuk melakukan sesuatu mengenainya dan menyumbang kepada perubahan.

“Saya telah berkhidmat lama dalam dunia fesyen dan mempunyai platform sendiri di Minggu Fesyen New York.

“Jadi saya gunakan perhatian yang tertumpu pada minggu ini untuk menyampaikan mesej  memperkasakan  kesedaran mengenai salah laku seksual,” jelasnya.

Kesemua model merupakan mangsa atau mereka yang terselamat daripada gangguan atau serangan seksual, dan kisah mereka diceritakan semasa pertunjukan itu. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen