Semasa Viral

Berang Suami Curang, Wanita Nekad Robohkan Rumah

SEORANG wanita dari Indonesia bertindak meruntuhkan rumahnya di kampung yang dibina hasil titik peluhnya bekerja di luar negara.

Wanita tersebut, Mimin Aremanita Formosa meruntuhkan rumahnya itu kerana geram dan marah dengan perbuatan suaminya yang curang.

Mimin memuat naik gambar-gambar ketika pekerja sedang meruntuhkan rumahnya di Facebook sehingga menjadi tular di Indonesia.

Menurut stesen televisyen terkenal di sana, rumah tersebut hasil kerja keras Mimin di Taiwan. Namun selepas mengetahui suaminya membawa wanita lain tinggal di rumah mereka di Malang, Jawa Timur dia terus bertindak.

Sungguhpun begitu, Mimin menerusi kenyataannya di Facebook menafikan tindakannya itu berpunca daripada kecurangan suaminya.

Walaupun mengesahkan suaminya curang namun menurut Mimin, rumah berkenaan diruntuhkan berikutan berlaku perbalahan kerana rumah itu didirikan di atas tanah bekas mentuanya.

Pada mulanya Mimin berniat untuk menjual rumah tersebut tetapi dibantah oleh keluarga bekas mentuanya kerana dibina di atas tanah mereka dan mendakwa rumah berkenaan milik mereka.

Mimin kemudian mahu menyerahkan rumah itu kepada anaknya namun mengarahkan rumah itu dikosongkan tetapi bekas suaminya enggan.

Tidak mahu mengalah, Mimin meminta ganti rugi 75 juta rupiah (RM22,700) namun bekas suami dan keluarganya hanya mampu membayar 35 juta rupiah (RM10,600).

Berikutan itu, Mimin memutuskan rumah berkenaan dirobohkan bagi mengelak perbalahan berpanjangan. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen