Terkini Viral

Pantai Diserbu Pengunjung, Nak Tengok Sotong Raksasa

IBARAT pesta jadinya apabila penduduk di perairan Pulau Tawi-Tawi di wilayah autonomi Islam Mindanao, Selatan Filipina membanjiri pantai gara-gara seekor sotong bersaiz gergasi.

Sotong gergasi berkenaan pada mulanya ditemui seorang nelayan sedang berenang berdekatan dengan pantai di Desa Sibutu, sebuah pulau kecil Jumaat lalu.

Tidak mampu menggunakan kudratnya semata, penduduk perkampungan tersebut beramai-ramai ikut membantu menarik sotong tersebut ke daratan secara bergotong-royong.

Sotong sepanjang 2.5 meter itu dipercayai datang dari sekelompok sotong bersaiz luar biasa besar yang mungkin tersesat jauh ke kawasan perairan cetek pulau tersebut akibat ditolak arus gelombang air laut dalam yang kuat.

Sebaik dibawa ke pantai, ramai penduduk desa berkenaan mengerumuni sotong gergasi itu dengan perasaan kagum dan merakamnya sebelum dimuat naik ke media sosial sehingga menjadi tular.

“Saya kenal nelayan yang menangkap sotong gergasi ini. Amat sukar untuk membawanya ke daratan kerana ia sangat berat. Uniknya, sotong tersebut begitu bersih, putih dan cerah,” kata Harold Eduardo Curtis, seorang nelayan di Tawi-tawi.

Tambahnya, sotong bersaiz gergasi itu amat sihat dan dia yakin rasa dagingnya lazat apabila dimasak.

Tawi-Tawi terletak kira-kira 1,100 kilometer dari ibu kota Manila serta bersempadan laut dengan Malaysia dan Indonesia.

“Ini adalah sotong terbesar pernah ditangkap dan mungkin pecah rekod rantau Asia Tenggara. Rasanya ia berasal dari kelompok sotong gergasi yang mungkin berukuran sama atau lebih besar daripadanya, yang masih banyak di lautan,” katanya.

Pakar seismologi dari Jepun, Kiyoshi Wadatsumi dalam pada itu memberi amaran, kemunculan banyak hidupan aneh bersaiz gergasi sebenarnya menunjukkan ada berlaku pergerakan dasar bumi kesan dari cuaca global terkini.

Makhluk marin ujarnya, amat sensitif dengan sebarang perubahan waima kecil. Awal tahun lalu, Filipina gempar dengan penemuan banyak haiwan laut aneh di pantai yang menjadi petanda kepada kejadian gempa 6.8 skala Richter.

Untuk pengetahuan, sotong gergasi merupakan makanan utama ikan paus sperma. –KLICK.MY