Sensasi Terkini

Gara-Gara Selipar Tun M, Netizen Gesa Bata Kembalikan Rekaan Tersebut

APA sahaja yang dilakukan oleh Perdana Menteri Malaysia ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M), pasti menjadi tumpuan rakyat.

Selepas isu ‘supplement’ (makanan tambahan) yang diambil oleh Tun menjadi bualan, terbaharu isu selipar yang dipakai oleh Tun M ketika menghadiri majlis makan malam.

Gambar Tun M yang hanya memakai selipar jenama Bata sedang duduk di kerusi dengan hanya berkaki ayam menjadi tular di media sosial.

Gara-gara selipar yang dipakai Tun M, Bata kemudian memuat naik gambar sepasang selipar di halaman rasmi Facebooknya menjelaskan bahawa produk tersebut merupakan aksesori terhangat dijual di pasaran bagi Ramadan tahun ini.

Di ruangan komen, Bata turut menjawab pertanyaan netizen bahawa selipar yang dipakai Pengerusi Pakatan Harapan itu adalah rekaan empat tahun lalu.

Malahan di ruang komen, Bata menjawab pertanyaan netizen mengenai kesahihan selipar coklat yang dipakai Tun M.

“Ia adalah selipar keluaran Bata yang berada di pasaran lebih 20 tahun. Hari ini, seorang pengguna laman sosial Instagram telah berkongsi gambar Tun M memakainya,” ujar Bata.

“Rekaan semasa telah diperbaharui dengan dalamannya kini dipanggil ‘Sandak by Bata’. Tetapi ia adalah selipar yang sama,” tambah Bata.

Rata-rata netizen meminta Bata supaya  mengembalikan rekaan selipar yang sama seperti kepunyaan Tun M.

“Bata yang disayangi, saya mahu yang serupa dengan Tun M.

“Kembali jual rekaan lama yang berusia empat tahun itu,” antara beberapa luahan netizen.

Selain itu, netizen turut memberi beberapa cadangan seperti memperbanyakkan saiz yang lebih besar dan mempelbagaikan warna.

“Maaf ya, selipar ini cuma satu warna dari dulu lagi. Kekal dengan rekaan vintaj,” jelas Bata.

Malah ada yang mencadangkan Bata untuk mendapatkan tandatangan perdana menteri untuk model sandal berkenaan.

“Kita cuba ya,” kata Bata.

Ketokohan Tun M tidak boleh disangkal lagi. Justeru, tidak hairanlah kalau orang ramai mahu mencontohi keperibadian dan mengikuti apa sahaja yang dilakukan oleh Tun M. –KLICK.MY

Sumber: mStar Online

 

 

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen