Sensasi Terkini Viral

Gara-Gara Promosi Astro, Pemuda Dimaki Pengawal Keselamatan

Tular sejak semalam rakaman video seorang pengawal keselamatan melemparkan kata-kata kesat kepada seorang pemuda yang mempromosikan perkhidmatan Astro di kawasan kediaman privasi.

Pemuda tersebut, Muhammad Hafizie mendakwa pengawal keselamatan itu bertindak keterlaluan dengan memaki hamun dia dan rakannya.

Tambahnya lagi, dia masuk ke situ dengan cara baik dengan berdaftar di pondok pengawal keselamatan. Niatnya tidak lain tidak bukan mahu mencari sales lebih di kawasan kediaman tersebut.

“Datang dari Seremban naik EX5 saja tengah panas. Niat nak cari sales lebih sikit sebab nak raya, kan? Saya jumpa satu flat ini yang ada guard house. Jadi saya pun turun, beri salam dan perkenalkan diri.

“Saya minta izin darinya untuk masuk ke flat itu. Yelah, sebab kita masuk tempat orang, kenalah beradab,” tulisnya di Facebook.

Namun, apabila dia turun dari apartment tersebut, tiba-tiba terdengar pengawal keselamatan memekik.

“Selepas turun dari flat itu, ternampak pengawal keselamatan itu menjerit-jerit ke arah kami, ‘wey lancau dua orang, kau sini kejap’, membuatkan saya terkejut.

“Saya pun tanya dia kenapa? Dia kemudian meminta kad pengenalan kami dan memberitahu bahawa ada penduduk di rumah flat itu telah memarahinya,” tulis Hafizie.

Pengawal keselamatan itu menjelaskan dia dimarahi penduduk kerana membenarkan Hafizie dan rakannya membuat promosi Astro dari pintu ke pintu sehingga menyebabkan penduduk di apartment berkenaan berasa kurang selesa.

Namun Hafizie menegaskan sebelum masuk, dia sudah menjelaskan tujuan kedatangannya ke apartment itu, malah meminta izin terlebih dahulu.

Di sinilah berlakunya salah faham antara mereka kerana pengawal keselamatan menyangka Hafizie datang untuk memasang piring Astro dan bukannya membuat promosi.

Kemudian Hafizie diberi amaran agar tidak kembali lagi ke tempat itu. Sekiranya berdegil, laporan polis akan dibuat.

Di penghujung video, kedua-dua pihak dilihat sudah berdamai dan tidak mahu memanjangkan perkara itu.

Namun Hafizie pula memuat naik video kejadian itu di Facebook menyebabkan netizen tertanya-tanya apakah motif Hafizie berbuat demikian. Kemudian didapati video tersebut telah dipadam oleh Hafizie di laman Facebooknya.  –KLICK.MY