Viral

Gambar, Video Mangsa Penumpang Lion Air Yang Tersebar Adalah Palsu

SEMALAM tular di media sosial beberapa keping gambar dan satu video memaparkan situasi sebelum pesawat Lion Air, JT 610 terhempas di perairan Karawang, Jawa Barat.

Pelbagai gambar termasuk swafoto mangsa penumpang tersebar luas di Instagram hingga mencetuskan tanda tanya tentang kesahihannya.

Terdapat juga foto yang seolah-olah menggambar situasi di dalam kabin sebelum pesawat itu terhempas.

Salah satunya memaparkan empat penumpang sedang mengambil swafoto dalam kabin.

Menerusi gambar dikongsi oleh pemilik akaun @westjournalpalma, kesemua penumpang itu dilihat memakai topeng oksigen.

Foto itu bagaimanapun telah dipadamkan selepas mendapat teguran Kementerian Perhubungan (Kemenhub).

Ketua Biro Hubungan Masyarakat Kementerian Komunikasi dan Maklumat, Ferdinandus Setu mengesahkan gambar itu adalah palsu.

“Foto itu adalah penumpang yang menaiki pesawat Sriwijaya Air ketika pergolakan di udara,” ujarnya.

Selain itu, pengguna media sosial turut menerima rakaman video yang menunjukkan detik cemas sebelum pesawat JT 610 itu jatuh.

Dalam rakaman disebarkan menerusi akaun @merapi_singgalang, video itu jelas menunjukkan keadaan kabin pesawat yang gelap dan beberapa penumpang tidak henti-henti berdoa.

Ferdinandus sekali lagi mengesahkan ia adalah video palsu.

“Situasi itu berlaku dalam pesawat Lion Air, JT 353 yang mengalami pergolakan udara ketika dalam perjalanan dari Padang ke Jakarta,” ujarnya.

Justeru, kepada orang ramai dan netizen, jangan mudah menyebarkan perkara yang tidak pasti. Jadilah netizen yang bijak! –KLICK.MY

Sumber: Sinar Harian Online

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.