Terkini Viral

Gadis Tanpa Tangan Popular, Digelar Bidadari Tanpa Sayap

SEORANG gadis kurang upaya tanpa tangan digelar ‘bidadari tanpa sayap’ dan dijadikan inspirasi oleh rakyat China kerana kegigihannya menjalani kehidupan seperti gadis normal.

Mana taknya, tatkala wanita sebaya di negaranya sibuk mengejar harta untuk menjalani pembedahan plastik mencantikkan diri yang sedia sempurna, Yang Li, 27, menerima kecacatannya dengan semangat luar biasa.

Tanpa kedua-dua tangan dia hanya menggunakan dua kakinya untuk membasuh, memasak, makan, beli belah malah mampu merakamkan aksi bersolek sendiri untuk perkongsian dengan peminatnya di alam maya.

“Saya belajar menyolek di universiti. Rakan saya semuanya menggayakan kening, memakai gincu dan mereka nampak cantik,” katanya.

Dia yang kehilangan kedua-dua lengan akibat kemalangan kabel voltan tinggi ketika berumur empat tahun dilatih oleh ibunya supaya berdikari.

Selepas berkongsi video yang pertama pada Julai lalu, berjuta rakyat China tersentuh hati melihat kisahnya sehingga dua juta pengikut mula mengikutnya dan memanggilnya ‘bidadari tanpa sayap’ atau ‘wanita inspirasi’.

Menurutnya dia tidak menyanyi, membuat lawak atau berpura-pura jadi comel dalam videonya tetapi dia hanya menunjukkan kepada pengikutnya bagaimana dia menjalani hidup seharian.

Dia yang tidak pernah meminta hadiah atau ganjaran daripada pengikutnya namun sesetengah orang mengkritiknya kerana dikatakan mengambil kesempatan daripada kecacatan untuk mengemis.

Tapi komen itu tidak menjejaskannya.



“Orang biasa boleh buat siaran langsung, kenapa saya tak boleh? Saya tidak terjejas dengan komen itu.


“Ramai orang beri galakan kepada saya. Saya dapat rasai penghormatan dan kebaikan mereka. Sebagai OKU saya mendapat pengiktirafan daripada masyarakat yang diinginkan sejak zaman kanak-kanak,” 
katanya.

“Jika saya menjatuhkan sesuatu di jalan selalu ada seseorang yang membantu saya. Saya berkongsi detik-detik itu dalam video supaya lebih banyak orang dapat mengalami kebaikan ini,” katanya.

Tambahnya, ibu mengajar menggunakan kaki untuk melaksanakan kerja yang dianggap mustahil kepada orang lain seperti makan dengan penyepit, memberus gigi dan menulis.

Antara kesukaran Yang pelajari ialah menghabiskan makanan dalam masa dua jam selain gunakan kaki untuk menyelesaikan kerja sekolah pada musim sejuk dengan suhu -5 Celsius.

Namun ibunya selalu meberitahu, perkara yang sukar akan jadi mudah.

“Ketika itu ibu mengajar saya untuk berdikari supaya dapat menjaga diri apabila berseorangan satu hari nanti,” katanya.

“Selepas kemalangan itu ibu berhenti kerja untuk menjaga saya dan ayah terpaksa menanggung keluarga seorang diri.

“Sekarang mereka sudah tua dan saya tidak mahu jadi beban kepada mereka lagi. Saya perlu menjalani hidup sendiri.

“Saya juga mahu membuktikan nilai saya kepada masyarakat,” tambahnya.

Saksikan kelincahan pergerakan Yang di bawah:

Bagaimanapun, ini bukan kali pertama Yang mendapat perhatian ramai  kerana sebelum itu dia mengambil peperiksaan kemasukan universiti yang dikenali sebagai ‘gaokao’ menggunakan kakinya.

Beliau bangga diterima untuk belajar di Anhui Agricultural University pada 2007 dan kini bekerja sendiri di Bengbu. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen