Viral

Gadis ‘Rumah Kuning” Dihujani Panggilan Selepas Tular Di Media Sosial

BEBERAPA hari lalu, tular di media sosial foto menunjukkan bungkusan yang tertera alamat Masuk Ke Dalam Sikit, Rumah Saya Kat Belakang Warna Kuning, Jerantut, Pahang.

Gara-gara alamat pelik yang tertera pada bungkusan tersebut, pemiliknya seorang gadis dihujani panggilan telefon serta mesej melalui aplikasi Whatsapp.

Nur Rabiatul Adawiyyah Zamri, 18, berkata, dia terkejut apabila alamat berkenaan digunakan oleh peniaga di platform e-dagang terkemuka Asia Tenggara dan Taiwan, Shopee untuk menghantar bungkusan berisi vitamin yang dibeli melalui web tersebut.

“Sebenarnya itu bukan alamat yang saya tulis pada borang maklumat peribadi ketika membeli barang melalui Shopee.

“Itu cuma keterangan yang ditulis kerana rumah saya agak tersorok bagi memudahkan posmen mencarinya,” katanya.

Menurutnya, alamat rumah yang betul telah ditulis, namun tidak menyangka pihak peniaga di platform Shopee menggunakan keterangan berkenaan untuk menghantar barang pesanannya.

“Saya sudah membeli barangan melalui Shopee sudah hampir setahun. Ia kali pertama kejadian seperti ini berlaku,” ujarnya.

Dia memberitahu, posmen telah menghubunginya supaya hadir mengambil bungkusan berkenaan di Pejabat Pos Malaysia Jerantut memandangkan alamat tersebut mengelirukan.

“Selepas ambil barang itu barulah saya tahu gambar bungkusan yang terpapar alamat itu telah tular di Facebook dan Whatsapp selepas dimaklumkan oleh rakan-rakan,” jelasnya.

Tambahnya, dia agak terkilan dengan penularan gambar bungkusan berserta alamatnya itu kerana individu pertama yang memuat naik gambar bungkusan berkenaan turut mendedahkan nombor telefonnya.

“Saya tidak kisah kerana saya sendiri pun ketawa melihat alamat itu tetapi saya terpaksa berdepan dengan panggilan telefon dan mesej dari pagi sampai ke malam kerana netizen ingin mengetahui cerita sebenar.

“Ramai yang anggap saya ingin berjenaka dengan menulis alamat sedemikian tapi sebenarnya ia cuma kesilapan teknikal dan saya akan lebih berhati-hati selepas ini agar ia tidak berulang,” katanya.

Gambar bungkusan yang tular di Facebook itu telah mendapat ribuan reaksi daripada netizen kerana ramai beranggapan ia satu jenaka. –KLICK.MY

Sumber: Kosmo! Online

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.