Hiburan Terkini Viral

Fattah Amin Kuat Kerja, Jadual Aktiviti Seni Padat Sepanjang Tahun

 Artis Paling Popular di Anugerah Bintang Popular 2017, Fattah Amin berkata, dia belum mendapat cuti rehat sejak awal tahun ini dan akan kekal sibuk sehingga akhir tahun.

Menurut pelakon utama Hero Seorang Cinderella itu, jadualnya sangat padat dengan pelbagai aktiviti seni yang memerlukan komitmen tinggi, bagaimanapun dia tidak merungut sebaliknya bersyukur dengan rezeki Allah yang dikurniakan kepadanya itu.

Ditanya, apa akan dilakukannya sekiranya berpeluang bercuti, jawabnya, dia pasti meluangkan masa berkualiti bersama keluarganya.

“Memang sekarang jadual sangat padat sehingga waktu untuk diri sendiri pun tidak ada kerana terlalu sibuk.

“Tetapi jika diberi peluang untuk bercuti walaupun sehari, saya akan gunakan untuk bersama keluarga kerana sekarang ini memang jarang dapat meluangkan waktu bersama mereka,” ujarnya.

Fattah ditemui ketika pelancaran Raya Bergaya di Prima Valet yang diadakan di Bangi pada Khamis. Turut hadir pada acara yang sama adalah pelakon Fazura, Anzalna Nasir, Shaheizy Sam, Memey Suhaiza, penyanyi Amy Search dan pengarah, Michael Ang.

Pada acara itu, Fattah yang berkerjasama dengan Elrah Exclusice melancarkan koleksi baju Melayu bersempena Hari Raya Aidilfitri akan tiba tidak lama lagi.

“Saya bersyukur kerana keluarga sentiasa memberi sokongan dan memahami situasi saya yang sering sibuk dengan aktiviti seni.

“Apa yang saya ada hari ini adalah kerana sokongan mereka dan peminat,” katanya.

Bercakap mengenai kedatangan Ramadan, Fattah berkata, dia akan sibuk di lokasi penggambaran Hero Seorang Cinderella sehingga pertengahan bulan Ramadan.

Selain itu, dia juga akan turun padang bagi mempromosikan pakaian koleksi rayanya itu FattahAminXF8 dan Fattah Amin X Elrah Exclusive. –KLICK.MY