Hiburan Sensasi Terkini

Farid Kamil Dedah Wajah 2 Individu Yang Mengkhianatinya

SEMALAM pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil mendedahkan wajah sebenar dua individu yang dikatakan telah meletakkan bahan dipercayai dadah dalam minumannya.

Dua individu tersebut bukanlah Ahmad Tajuddin (Taj Innuendo) dan Ahmad Fairuz (Osh) daripada kumpulan nasyid Firdaus seperti yang dilaporkan media sebelum ini.

Sebaliknya menurut Farid, sewaktu berlaku insiden itu, kedua-dua individu berkenaan telah mendakwa diri mereka sebagai kerabat diraja Johor dan kerabat diraja Kedah serta mengatakan terdapat perkara penting yang ingin dibincangkan.

Farid turut mengakui bahawa dia tidak mengenali dua individu tersebut secara peribadi melainkan mengetahui kehadiran mereka dalam industri hiburan tanah air.

“Malam sebelum ditahan, dua individu ini datang berjumpa saya dan saya mengetahui salah seorang daripada mereka merupakan pengurus artis serta yang seorang lagi adalah penyanyi. Tetapi saya tidak mengenali mereka secara rapat.

“Ketika perjumpaan itu, mereka memperkenalkan diri sebagai kerabat diraja sebelum saya tidak sedarkan diri,” katanya pada satu sidang akhbar yang diadakan petang semalam.

Dalam pada itu, Farid turut berkongsi dua keping gambar individu yang terlibat secara eksklusif kepada pihak media.

Dalam sidang media yang sama, pelakon drama Lafazkan Kalimah Cinta ini turut mendedahkan dia mengalami kecederaan di bahagian dahi hingga berparut ketika berada di sel tahanan pada hari ketiga.

Ketika kejadian yang berlaku pada jam 2 pagi itu, dia didatangi oleh 11 anggota polis berpakaian biasa. Kemudian dia dipakaikan dengan baju berwarna putih dan tiba-tiba lampu sel di tutup.

“Ketika dipakaikan baju putih itu saya cuba meronta dan tiba-tiba saya berasa cairan mengalir di wajah saya. Apabila lampu dibuka dan saya cuba membuka pakaian berkenaan, saya dapati banyak kesan darah pada baju.

“Sedangkan sebelum itu saya hanya bertanyakan tentang arah kiblat. Banyak keraguan tentang arah kiblat yang sebenar,” ceritanya.

Suami kepada kepada aktres Diana Danielle memberitahu dia sudah membuat laporan polis terhadap 11 individu tersebut. Namun maklum balas yang diterima daripada pihak polis mengecewakan.

Terdahulu, pada 16 Januari lalu, Farid Kamil didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, atas empat pertuduhan iaitu dua tuduhan menyebabkan kecederaan, berkelakuan tidak senonoh dan mengganggu penjawat awam di Balai Polis Trafik Kota Damansara.

Berkaitan: Sehari Lagi Tidur Lokap, Tempoh Tahanan Reman Farid Kamil Disambung

Manakala pada 25 Januari lalu, Farid Kamil mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret sama atas pertuduhan mengambil dadah jenis jenis THC iaitu dalam kumpulan ganja. –KLICK.MY

Sumber: Kosmo Online / Malaysiakini