Hiburan

Faizal Tahir Berjaya Jejaki Pemuda Jepun Nyanyi Lagu Assalamualaikum

BAYANGKAN orang Jepun yang kebanyakannya tidak pandai berbahasa luar, boleh menyanyikan lagu penyanyi Malaysia dalam bahasa Malaysia.

Pasti sesuatu yang membanggakan apatah lagi kepada penyanyi itu sendiri. Justeru, tidak hairanlah kenapa Faizal Tahir bersungguh-sungguh menjejaki seorang pemuda Jepun yang selamba menyanyikan lagunya yang berjudul Assalamualaikum.

Pada pertengahan November lalu, Faizal yang sedang popular dengan lagu Ragaman memuat naik sebuah video di laman Instagramnya.

Video tersebut memaparkan seorang pemuda Jepun menyanyikan lagu Assalamuailakum yang dirakamkan oleh beberapa orang rakyat Malaysia yang berada di Jepun ketika itu.

Tujuan Faizal memuat naik video berkenaan adalah untuk meminta pertolongan peminat dan netizen untuk mencari lelaki tersebut.

Ramai yang memberikan sokongan dan cuba membantu. Salah seorang daripada peminat Faizal berjaya mendapatkan Instagram pemuda Jepun berkenaan.

Akhirnya Faizal ke Jepun untuk menjejaki lelaki itu yang dikenali sebagai Terry.

Faizal berjaya menemui Terry di Ikebukuro, Tokyo. Terry atau nama sebenarnya Takaaki Torihira, 24, turut membawa Faizal ke Osaka di mana dia berasal.

Faizal kemudian mengotakan janjinya membawa Terry ke Malaysia. Menurut Terry, dia sememangnya meminati lagu-lagu Melayu dan cuba menguasai bahasa Malaysia dengan mendengar lagu-lagu yang diminati.–KLICK.MY

Sumber: Astro Gempak