Luar Negara Terkini

Enggan Menari Kerana Hamil, Penyanyi Maut Ditembak

HANYA kerana enggan menari, seorang penyanyi di selatan Sindh, Pakistan ditembak mati.

Samina Samoon, 24, ditembak suspek bernama Tarique Ahmed Jatoi dalam satu majlis perkahwinan setelah mangsa menolak ajakannya untuk menari bersama.

Menurut media tempatan, suspek yang dipercayai mabuk ketika kejadian berang apabila ajakannya ditolak.

Kejadian tersebut yang berjaya dirakam, menyaksikan Tarique melempar wang kepada mangsa yang hamil enam bulan itu sebelum menembaknya.

Rakaman insiden tersebut turut dikongsi di platform Twitter milik seorang aktivis hak asasi manusia, Kapil Dev.

Samoon yang dikejarkan ke Hospital Chandka bagaimanapun gagal diselamatkan akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Laporan polis telah dibuat suami Samoon atas pembunuhan isteri dan anaknya yang masih dalam kandungan.

“Isteri saya sedang hamil enam bulan dan suspek perlu didakwa atas dua kesalahan membunuh.

“Samoon enggan menari kerana hamil tetapi suspek tetap tergamak membunuhnya,” kata suami mangsa, Ashiq Ali.

Semoga pembunuh dihukum dengan hukuman setimpal. Inilah padahnya kalau mabuk kerana akal tidak lagi “berfungsi” ketika itu. –KLICK.MY