Gaya Hidup

Empat Cef Malaysia Tekad Dedah Restoran Halal Jepun Jual Daging Babi

EMPAT bekas cef sebuah restoran yang mempromosikan makanan halal di Osaka, Jepun mendedahkan bahawa restoran tempat mereka bekerja menyediakan daging yang tidak halal malah sijil yang dipamerkan juga palsu.

Disebabkan rasa bersalah, mereka mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan pulang ke Malaysia kerana tidak mahu bersekongkol dengan pemilik restoran terbabit.

“Kami mohon maaf kepada rakyat Malaysia beragama Islam yang pernah makan di restoran itu.

“Memang rasa bersalah sangat kerana kami tahu bahan yang disediakan seperti daging adalah tidak halal serta sijil halal yang dipamerkan juga dibuat sendiri pemilik restoran,” kata Hafizee Ismail, 29, seorang daripada empat bekas cef  di restoran tersebut.

Sebelum ini, mereka dimaklumkan restoran tersebut menyediakan menu halal dan menawarkannya kepada pelawat khususnya dari Malaysia untuk mendapat makanan halal tanpa was-was.

Akan tetapi, mereka mendapati daging yang dikatakan halal dicampur dengan daging babi dan dipotong menggunakan mesin yang sama ketika mereka mengambil stok bahan mentah dari kilang di Kobe bulan lalu.

Hasrat mereka untuk mendedahkan keadaan sebenar bagaikan ditunjuk jalan apabila secara kebetulan bertemu dengan aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di restoran itu, minggu lalu yang dalam rangka lawatan sempena promosi halal anjuran pemilik restoran terbabit.

Katanya, sejak sebulan lalu, mereka berniat menceritakan perkara sebenar namun memikirkan faktor keselamatan selain belum dibayar gaji, mereka terpaksa memikirkan cara lain untuk memaklumkan kepada pihak berkuasa di Malaysia memandangkan restoran terbabit menjadi tumpuan pelancong dari tanah air.

Dia menjadi cef di restoran itu sejak hampir dua tahun lalu manakala tiga yang lain diterima bekerja di situ pada Oktober lalu.

Daging ayam yang dibekalkan ke restoran terbabit.

Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya sudah merujuk perkara berkenaan kepada JAKIM dan akan mengadakan perbincangan dalam masa terdekat bagi mengetahui status sebenar isu terbabit. –KLICK.MY

Sumber: Harian Metro Online