Gaya Hidup Makanan

Elak Penipuan, Peminat Durian Musang King Mesti Kenali Ciri-Ciri Ini..

HARGA durian pada masa kini memang amat tinggi terutamanya jenis Musang King atau Raja Kunyit yang mana boleh mencecah RM50 sekilogram.

Memandangkan harganya yang mahal, pastikan anda tidak tertipu dengan penipuan sesetengah peniaga yang ingin mengaut keuntungan lebih dengan menjual durian jenis lain namun mengaku ia Musang King!

Ada beberapa kriteria Musang King yang peminat durian mesti tahu bagi mengelakkan tertipu.

Musang King berwarna kuning pekat, durinya pula bersegi, pangkal tangkainya tiada duri dan garisan pangsa jelas kelihatan pada kulitnya.

Penolong Pengarah Bahagian Hortikultur Jabatan Pertanian Serdang, Mohd. Auzaie Koma rudin berkata ini merupakan antara ciri-ciri utama durian D197 yang didaftarkan di Jabatan Pertanian pada 1993.

Menurut beliau, nama Musang King berasal daripada perkataan Mao Shan Wang yang bermaksud raja kucing gunung kerana bentuk isinya sama seperti posisi tidur seekor kucing.

Kata Mohd Auzaie, panggilan itu terus digunakan masayarakat Cina tempatan secara meluas sehingga perkataan ‘Mao Shan’ ditukar kepada sebutan Musang dan ‘Wang’ ditukar kepada King.

“Isi Musang King lebih tebal, rasanya lemak yang sedikit pahit dan bijinya kecil berbanding durian lain dan kini banyak didapati du sekitar Raub, Pahang.

“Musang King yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan lebih lonjong seperti bola ragbi berbanding baka lain yang berbentuk bulat, selain mempunyai corak seakan bintang pada bawah buahnya,”katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui Bernama di Ladang Bandar Jabatan Pertanian, Serdang dekat sini hari ini.

“Musang King cukup diminati penggemar durian sehingga dijual agak mahal bermula RM50 sekilogram di pasaran atau 30 hingga 40 peratus lebih mahal daripada jenis durian yang lain. Malah terdapat sesetengah peniaga cuba mengaut keuntungan mudah dengan mendakwa menjual Musang King, walhal ia merupakan baka lain,” katanya.

Beliau berkata pembeli perlu memeriksa ciri-ciri durian itu terlebih dahulu sebelum membelinya bagi mengelakkan ditipu.

Bagi mengenali baka anak pokok Musang King pula, beliau berkata pokok duriannya memiliki daun yang lebih nipis, berbentuk tirus dan sedikit beralun.

“Anak pokok ini sesuai untuk ditanam di tanah terbuka apabila sudah mempunyai sekurang-kurangnya lapan helai daun dan kebiasaannya hasil tanaman boleh mula dinikmati seawal lima tahun setelah ditanam,” katanya. –KLICK.MY

Sumber: Bernama