Gaya Hidup Terkini

Elak Cerai, Suami Isteri Mesti Berpelukan 10 Saat Setiap Hari

TAHUKAH anda satu daripada tiga perkahwinan pertama di Malaysia berakhir dengan perceraian dalam tempoh lima tahun sahaja?

Masalah meruncing ini jelas berlaku dalam kalangan generasi muda dan ia amat membimbangkan.

Statistik ini diambil daripada kajian dilakukan oleh kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Justeru Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd. Dun menekankan kepentingan berpeluk selama 10 saat antara suami dan isteri serta ibu bapa dan anak-anak.

Menurut beliau, pelukan singkat yang dilakukan setiap hari berkesan dalam merapatkan hubungan kekeluargaan.

“Kalau dulu mula bercinta selalu ingin bersama, malah perasaan ‘berbunga’ itu terbawa-bawa hingga alam baharu berkahwin sampai kalau boleh tidak mahu berpisah.

“Masing-masing asyik ‘melekat’ macam belangkas setiap masa, namun apabila usia perkahwinan sudah menjangkau bertahun-tahun, mereka sudah lupa nak berpelukan.

“Jadi jomlah peluk pasangan masing-masing dan anak-anak untuk 10 saat kerana teknik ini berupaya mengukuhkan institusi kekeluargaan,” katanya.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd. Dun

Beliau menjelaskan demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Idris Jusi (PKR-Batu Pahat), di Dewan Rakyat hari ini.

Mohd Idris membangkitkan persoalan mengenai isu rumah tangga dalam kalangan generasi muda yang berdepan masalah untuk menempuh budaya dan persekitaran baharu di alam perkahwinan.

Azizah berkata, program pasca perkahwinan anjuran kementerian dengan kerjasama pelbagai pihak, termasuk LPPKN itu wajar disertai pasangan berkahwin yang berdepan konflik.

“Ini dapat membantu mengukuhkan dan memberi nafas baharu institusi kekeluargaan yang mungkin terjejas kerana pelbagai faktor.

“Statistik juga menunjukkan perceraian dalam kalangan generasi muda khususnya lelaki berlaku angkara campur tangan ibu mentua. Oleh itu nasihat menerusi sesi kaunseling berupaya mengatasi penularan masalah ini,” katanya. –KLICK.MY

Sumber: BH Online

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen