Viral

Dulu Pondan, Namun Kematiannya Ditangisi Penduduk Kampung

SEBUT sahaja lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) pasti ramai yang sumpah seranah golongan ini seolah-olah dosa pahala itu mereka yang tentukan.

Ya, yang haram tetap haram tetapi tindakan masyarakat yang terus-menerus mengecam dan meletakkan hukuman terhadap golongan ini sebenarnya tidak membantu untuk mereka kembali ke pangkal jalan.

Malah, perbuatan tersebut membuatkan golongan LGBT terus dengan berdegil meneruskan kehidupan songsang mereka.

Mungkin cerita yang dikongsikan oleh seorang aktivis kemanusiaan ini boleh dijadikan pengajaran dan pedoman.

Faiz Qayyuum Abdul Majid berkongsi cerita seorang mak nyah atau pondan di laman Twitternya yang pernah dikenalinya.

Menerusi bebenang ‘Kematian Pondan Yang Ditangisi’, menurut Faiz Qayyuum tujuannya adalah untuk mendidik masyarakat mengajak golongan ini mengenal Tuhan, bukannya menghukum mereka.

Mengikut laporan mStar Online, pemuda ini berasa terpanggil untuk berkongsi kisah mengenai ‘mak nyah’ tersebut yang meninggal dunia pada bulan Ramadan 2013 selepas terkesan dengan posting yang dimuat naik oleh seorang pengguna akaun di Twitter berhubung isu LGBT.

“Saya ternampak pengguna akaun yang berimej Islamik itu menulis tentang golongan LGBT ini sudah pasti akan masuk neraka.

“Saya ingin membantah kenyataan tersebut di posting berkenaan, tetapi rakan saya menasihatkan agar menggunakan kelembutan jika ingin menegurnya,” katanya.

Ceritanya lagi, bekas mak nyah tersebut merupakan antara peserta yang gemar memberontak ketika mengikuti kem selama tiga hari dua malam di Ulu Yam, Selangor kira-kira enam tahun lalu.

Menurut Faiz Qayyuum, dia pernah dimarahi arwah ketika menyentuh kulitnya semasa mengambil wuduk kerana menganggap ia membatalkan air sembahyang.

Namun, pendekatan berhikmah yang digunakan Faiz Qayyuum dan rakan-rakannya berjaya menawan hati arwah untuk kembali kepada fitrahnya sebagai seorang lelaki.

“Kami tak marah bila tengok dia datang pakai telekung untuk solat Isyak berjemaah, malah kami ajak dia sembahyang sama-sama.

“Saya ingat lagi telekung yang dipakainya itu sangat cantik dan dia membeli telekung tersebut sehari sebelum menyertai kem berkenaan,” ceritanya.

Beberapa bulan selepas itu, Faiz Qayyuum mendakwa dia terputus hubungan dengan Allahyarham yang tiba-tiba menghilangkan diri selepas mengambil keputusan untuk pulang ke kampung yang terletak di utara tanah air.

Setahun kemudian, jejaka yang berasal dari Semenyih itu dikejutkan pula dengan berita pemergian Allahyarham seminggu sebelum Syawal.

“Masa imam kampung itu hubungi saya untuk maklumkan mengenai arwah, saya sangkakan tiada orang nak uruskan jenazahnya.

“Rupanya, sangkaan saya meleset kerana melihat arwah sangat disayangi oleh penduduk di kampungnya.

“Saya kagum dengan penerimaan orang kampung yang tidak menyisihkan arwah malah imam tersebut menjadi orang pertama yang mendekati arwah dan memberikannya pekerjaan sebagai tukang masak di sebuah pusat tahfiz,” kata Faiz Qayyuum.

Justeru, pengajaran di sebalik kisah ini, janganlah mudah kita menjatuhkan hukuman kepada seseorang.

Golongan seperti ini perlu dididik dan bukannya menghukum. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.