Hiburan

“Duit Dan Manusia Saya Tak Sembah”-Isma Yusoof Dikecam Kerana Bertatu

SUDAH agak lama tidak kedengaran berita mengenai pelakon dan pengarah, Isma Yusoof.

Namanya pernah menjadi kontroversi pada tahun 2015 kerana menampar seorang pelakon wanita ketika penggambaran sebuah drama.

Terbaharu, namanya kembali menjadi sebutan sejak semalam apabila memuat naik status berbau kontroversi di Instagramnya.

Dia memuat naik sekeping foto menunjukkan kaki yang dicacah tatu.

“Tatu pertama saya. Ya Allah rasa hidup bila bertatu ni rupanya. Terima kasih Alif. Terima kasih Pasar Gelap,” tulisnya pada entri berkenaan.

Malah, dia dengan berani menjelaskan foto kaki itu adalah kakinya dan bukan orang lain apabila salah seorang netizen mempertikaikan foto tersebut adalah dirinya.

Statusnya itu kemudian menerima pelbagai kecaman dan pertanyaan netizen. malah dia turut menjawab beberapa soalan sensitif berhubung agama dan punca dia mencacah tatu.

“Dalam IC Islam. Jiwa tauhid percaya satu Tuhan. Duit dan manusia saya tak sembah,” jawab Isma.

Difahamkan Isma kini menetap di Pulau Langkawi, Kedah. –KLICK.MY

Sumber: Astro Gempak