Sensasi Viral

Dua Lipa Tukar Kapsyen Gara-Gara ‘Makcik Bawang’ Malaysia

SETIAP bangsa dan negara mempunyai bahasa masing-masing. Namun ada kalanya sesetengah bahasa mempunyai ejaan yang sama tetapi maksud berlainan.

Antara contoh terdekat ialah Bahasa Malaysia dengan Bahasa Indonesia. Perkataan ‘butuh’ kalau di Indonesia membawa erti ‘perlu’ tetapi di negara ini ianya satu perkataan kasar atau mencarut.

Kadang-kadang ia menjadi kekeliruan bagi yang tidak memahami maksudnya. Begitulah yang terjadi kepada penyanyi Britain berdarah Albania, Dua lipa.

Memetik laporan The Star, penyanyi tersebut dijadikan bahan lawak netizen Malaysia atau golongan yang lebih dikenali sebagai ‘makcik bawang’ (suka bergosip) selepas penyanyi ini memuat naik gambar dengan kapsyen yang mengandungi perkataan ‘babi’ merujuk kepada bapanya.

Bagaimanapun, perkataan ‘babi’ dalam bahasa Albania bermaksud bapa. Lipa memuat naik ucapan selamat ulang tahun kelahiran kepada bapanya di Instagram dengan kapsyen, “Happy birthday babi, I wish I was home to give you a big hug and kiss.”

Dek kerana bertubi-tubi menerima komen daripada ‘makcik bawang’ tentang hal tersebut, akhirnya Lipa mengalah dan menukar kapsyen gambar tersebut kepada “Happy birthday dad” selepas dibahan netizen Malaysia di atas penggunaan perkataan babi yang merujuk kepada haiwan bernama babi.

Lihat, betapa dahsyatnya penangan ‘makcik-makcik bawang’ dari Malaysia ini sehinggakan artis antarabangsa pun terpaksa akur.

Mungkin Lipa terpaksa akur kerana pada 3 Mei depan dia akan menjayakan konsert ‘Dua Lipa Live In Malaysia’.  Jadi bagi menghormati perasaan dan sentiviti masyarakat Malaysia, dia menukar kapsyennya itu. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen