Gaya Hidup

Dua Beranak Cedera, Mesin Pengering Pakaian Dobi Layan Diri Meletup

SEJAK kebelakangan ini pelbagai tragedi berlaku di kedai dobi layan diri 24 jam.

Bermula daripada insiden rompakan, ‘panggang’kucing dalam mesin pengering dan gurauan melampau sumbat anak saudara dalam mesin basuh.

Sakan-akan menjadi trend, terbaharu kes mesin pengering pula meletup menyebabkan dua orang cedera melibatkan bapa dan anak.

Kejadian tersebut berlaku di sebuah kedai dobi di Jalan Johan Setia, Klang, pagi semalam. Kedua-dua mangsa dilaporkan melecur pada tahap 57 dan 37 peratus.

Lelaki berkenaan yang berusia 43 tahun dan anaknya berumur 14 tahun yang melecur pada beberapa bahagian badan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan dilaporkan stabil.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, berdasarkan laporan pengadu iaitu isteri mangsa, dia bersama suaminya dan dua anak mereka telah pergi ke kedai dobi berkenaan untuk mengeringkan pakaian.

“Semasa pengadu bersama anak kecil di dalam kereta, tiba-tiba berlaku letupan di mesin pengering tersebut dan menyebabkan suami dan anak perempuannya melecur pada tubuh badan.

“Pengadu telah meminta bantuan orang ramai membantu mengangkat suami dan anaknya ke dalam kereta sebelum memandu terus ke HTAR,” katanya dalam satu kenyataan.

Shamsul Amar berkata, siasatan awal mendapati, letupan berlaku setelah suami pengadu menekan butang “START” mesin pengering, yang secara tiba-tiba meletup dan menyebabkan suami dan anak pengadu mengalami kebakaran pada tubuh badan.

Menurutnya, pegawai bomba mengesahkan punca kejadian adalah akibat masalah teknikal pada mesin pengering yang menyebabkan api menyambar bahagian belakang yang menempatkan tong gas. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.