Gaya Hidup Terkini

Dr. Sheikh Muszaphar Kongsi Cara Didik Anak Cemerlang Sejak Bayi

SIAPA tidak kenal dengan, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor yang bukan sahaja bergelar angkasawan pertama Malaysia malah dia juga merupakan Pakar Bedah Ortopedik.

Isteri beliau Dr. Halina Mohd Yunos juga merupakan pakar perubatan dan hasil perkahwinan  mereka dikurniakan empat anak berusia 7 dan 6 tahun  serta dua kembar lelaki yang baru berusia tiga bulan.

Apa yang menarik tentang kedua-dua figura hebat ini adalah cara mereka mendidik anak-anak.

Jika anda mengikuti Instagram Dr. Sheikh Muszaphar, dia sangat gemar berkongsi video dan kaedah pendidikan awal yang diamalkan untuk kedua-dua puterinya, Bella dan Tasha sehingga kedua-dua anaknya cemerlang dalam semua aspek akademik dan juga kokurikulum.

Baru-baru ini, anak sulungnya iaitu Tasha memasuki darjah satu dan Dr Sheikh memilih untuk menghantar anaknya ke sekolah Mandarin.

“Ramai yang bertanya kepada saya sama ada mahu hantar anak mereka ke Sekolah Mandarin. Ramai ibu bapa bimbang jika anak mereka boleh atasi masalah bahasa dan hadapi banyak kerja rumah, juga sukar dapatkan makanan halal. ”

“Jawapan saya? Sekolah Mandarin adalah pilihan terbaik setakat ini. Teknik pengajaran di SJKC adalah luar biasa, pelajar lebih berdisiplin, anak-anak belajar bahasa asing dengan cepat kerana otak mereka lebih mudah disesuaikan berbanding dengan orang dewasa dan membawa makanan dari rumah setiap hari.

“Mengenai kerja rumah, setiap ibu bapa perlu habiskan satu jam sehari dengan anak untuk membantu kerja sekolah mereka,” tulis beliau.

Kedua-dua anak perempuannya di hantar ke sekolah tadika Mandarin selama dua tahun sebelum dia memilih memasukkan anak sulung ke sekolah kebangsaan Mandarin.

Pasti ramai yang beranggapan bila hantar sekolah Mandarin, tiada pendidikan agama di sekolah. Namun, ternyata Dr. Sheikh Muszaphar turut memainkan peranan penting melengkapkan anaknya dengan ilmu agama.

Seawal usia 6 tahun, anak sulungnya iaitu Bella sudah pun khatam Al-Quran. Ia sekaligus membuka mata ibu bapa bahawa pendidikan di sekolah saja tidak cukup.

Ibu bapa perlu bertanggungjawab mendidik anak  untuk mendalami agama Islam.

Perkongsian Dr Sheikh Muszaphar amat bermanfaat dan boleh diaplikasikan oleh ibu bapa lain yang tercari-cari cara berkesan mendidik anak selain hanya mengharapkan guru-guru di sekolah sahaja. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen