Semasa Sensasi Viral

Ditampar Guru Hingga Hidung Berdarah

Hakikatnya tugas sebagai guru pada zaman kini sememangnya amat mencabar. Itu tidak dapat dinafikan. Seandainya guru tidak dapat menahan emosi dan kesabaran, memang mengundang padah.

Begitulah yang terjadi kepada seorang guru di Miri, Sarawak apabila dia bertindak menampar seorang pelajar.

Dia didakwa melakukan perkara itu oleh bapa kepada pelajar tersebut, Abang Joe Gil. Malah bapa pelajar tersebut sempat memuat naik status di Facebook mengenai hal itu.

Menurut cerita, ibu kepada pelajar tersebut sering mengadu kepada pihak sekolah anaknya kerap dipukul di bahagian kepala.

Mungkin kerana tidak tahan sabar, guru tersebut menampar pelajar tersebut hingga hidungnya berdarah.

Kata bapa pelajar tersebut, sebelum ini anaknya itu sering mengadu enggan menyertai aktiviti kawad di sekolah kerana ada guru lelaki yang kerap memukul kepalanya kalau dia melakukan kesilapan. Disebabkan itu, dia enggan ke sekolah kerana takut.

Isterinya pernah mengadu pada pihak sekolah mengenai perkara itu dan meminta pihak sekolah menegur tindakan guru berkenaan agar tidak memukul kepala anak mereka. Namun pasangan itu tidak menghalang jika guru mahu memukul tangan, kaki atau punggung anak mereka sekiranya dia melakukan kesalahan.

Mungkinlah disebabkan hal adu-mengadu ini membuat guru tersebut naik angin sehingga terjadilah perkara yang tidak diingini. Sehingga kini, tiada sebarang maklum balas mengenai perkembangan terkini daripada bapa mangsa.

Tidak mahu menyokong mana-mana pihak, rasanya tindakan dan kaedah perlu dibuat bagi mengatasi masalah ini. Bukan baru sehari dua pertelingkahan antara guru, pelajar dan ibu bapa terjadi tetapi sudah kerap kali.-KLICK.MY