Luar Negara Terkini

Disangkakan Harimau Jadian, Penduduk Bunuh Pak Belang

MALANG buat seekor harimau Sumatera apabila dibunuh oleh penduduk kampung di Sumatera Barat kerana menyangkakan haiwan itu adalah harimau jadian atau siluman.

Kejadian menyedihkan itu kini dalam siasatan pihak berkuasa. Menurut portal di sana, harimau jantan daripada spesies terancam itu dibunuh penduduk di kampung Hatupangan di Batang Natal sebelum bangkai digantung di dewan orang ramai di kampung berkenaan pada Ahad lalu.

“Harimau ini tidur di bawah rumah sebelum beberapa penduduk menikam perutnya beberapa kali menggunakan tombak,” kata Ketua Daerah Batang Natal, Lion Muslim.

Lion berkata, penduduk tahu harimau itu adalah spesies terancam dan dilindungi kerajaan tetapi mereka takut kerana terdapat khabar angin mengenai siluman yang berkeliaran di kampung berkenaan.

Sementara itu, pengarah Badan Pemuliharaan Sumber Alam (BKSDA) Sumatera Utara, Hotmauli Sianturi memberitahu, beberapa hari sebelum kejadian pihaknya cuba menasihati penduduk supaya tidak membunuh harimau itu.

“Kami termasuk pegawai Tentera Nasional Indonesia ada berbincang dengan penduduk tetapi mereka tidak mendengar nasihat kami,” jelasnya.

Sementara itu, pengarah eksekutif Yayasan Scorpion Gunung Gea kesal dengan tindakan kejam penduduk yang membunuh dan menggantung bangkai haiwan itu di dewan.

Harimau Sumatera antara spesies terancam dengan bilangan haiwan itu yang tinggal dianggarkan tidak lebih 600 ekor sahaja. –KLICK.MY