Gaya Hidup

Disangka Babi, Warga Emas Cedera Parah Di Lengan Akibat Ditembak

DISANGKA babi, seorang warga emas mengalami kecederaan parah di lengan kanannya selepas terkena tembakan yang dilepaskan rakannya di kebun durian di Kampung Sedengka Ayer Mati, Padang Changkat, Bota Kanan di sini pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pada pukul 10.30 pagi itu, mangsa, Ramli Mat Jesam, 60, yang bekerja kampung itu cedera parah selepas pergelangan tangan kanan dan jarinya tidak boleh digerakkan selain terdapat banyak lubang besar dan kecil kesan daripada tembakan senapang patah.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, siasatan awal mendapati pemilik kebun telah mengupah mangsa dan seorang lagi rakannya bagi melakukan kerja pembersihan serta menebang pokok di kebun durian tersebut.

“Ketika berada di kebun berkenaan, pemilik meninjau ke bahagian kebunnya yang lain selepas terdengar bunyi bising di dalam semak.

“Dia lantas mengambil senapang patah dari kereta dan kemudian dia melihat pokok pisang bergoyang kuat dan menjerit dua kali bagi menghalau haiwan yang disangkanya babi sebelum dia melepaskan satu das tembakan,” katanya seperti dilaporkan Kosmo! Online.

Tambah Mohamad Zainal, mangsa yang terkena tembakan menjerit meminta tolong sebelum pemilik dan rakannya bergegas ke arah pokok pisang itu.

“Mereka mendapati mangsa yang terkena tembakan dan bukannya babi seperti yang disangka pemilik kebun sebelum itu.

“Mangsa yang berdarah di bahagian lengan kanan itu kemudian dibawa ke Hospital Changkat Melintang bagi mendapatkan rawatan lanjut sebelum pemilik kebun hadir ke Balai Polis Bota untuk membuat laporan,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati hanya mereka bertiga berada di kawasan tersebut dan polis menemui satu kelongsong peluru penabur di lokasi kejadian.

Kemudian polis merampas selaras senapang patah bersama 45 butir peluru penabur pelbagai jenama, satu kelongsong peluru penabur, buku lesen memiliki senjata dan peluru serta sekeping kad senjata api.

Bagaimanapun pemilik kebun berkenaan dibebaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960. –KLICK.MY