Hiburan

Disalah Anggap Dikurniakan Pangkat Datuk, Erma Fatima Beri Penjelasan

PENGARAH Erma Fatima merupakan antara tetamu yang hadir di majlis Istiadat Pelantikan dan Pemasyhuran Tengku Ampuan Pahang dan Tengku Mahkota Pahang semalam.

Majlis penuh bersejarah itu digunakan sebaik mungkin oleh Erma untuk bergambar sebagai kenangan.

Malah, Erma tidak lokek berkongsi gambar-gambar tersebut bersama netizen di Instagramnya.

Namun, timbul kekeliruan di kalangan sesetengah netizen apabila melihat pingat yang dipakai oleh Erma di dadanya dan beranggapan dia telah dianugerahkan gelaran Datuk.

Bagi menghuraikan kekeliruan tersebut, Erma memuat naik sekeping lagi gambar untuk memberikan penjelasan tentang gambar-gambar sebelumnya.

“Salam. Saya ingin memberi sedikit pencerahan di sini. Gambar saya muat naik sebelum ini ramai yang menyangka saya dapat pingat Datuk.

“Sukacita dimaklumkan bahawa pingat yang saya pakai di dada itu sya dapat beberapa tahun yang lalu daripada Yang diPertuan Agong,” jelas Erma.

Selain itu Erma juga menjelaskan dia memakai pingat tersebut kerana majlis yang dihadirinya mewajibkannya memakai pingat yang pernah diperolehi sebelum ini.

“Saya belum layak mendapat gelaran Datuk jadi jangan silap sangka,” pesan Erma lagi.

Semoga satu hari nanti Erma benar-benar dianugerahkan pangkat Datuk kerana jasanya dalam seni hiburan bukan sedikit. –KLICK.MY