Gaya Hidup Terkini

Digelar ‘Ice Princess In Hijab’, Aksi Tangkas Zahra Lari Pukau Penonton

MUNGKIN ramai yang tidak menyedari sekarang ini sedang berlangsung temasya Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018 di Pyeongchang, Korea Selatan.

Seluruh dunia berkumpul di sana atas semangat kesukanan. Malah, Malaysia juga tidak ketinggalan menyertainya dan ini merupakan penyertaan sulung negara kita dalam temasya sukan tersebut.

Namun, apa yang menarik perhatian adalah mengenai seorang peserta luncur ais dari United Arab Emirates (UAE), Zahra Lari.

Gadis berusia 22 tahun ini merupakan hijabi pertama yang bertanding di peringkat antarabangsa dalam sukan luncur ais di temasya Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018 di Pyeongchang, Korea Selatan.

Tampil bertudung dengan skirt labuh dan berseluar longgar, aksi Zahra memang memukau kerana ketangkasannya dan tidak keterlaluan dikatakan bahawa Zahra mampu mencabar para peserta yang lain.

Bagi yang masih belum mengenali gadis ini, Zahra mula meminati dan memasang impian untuk  menyertai aktiviti luncur ais selepas menonton filem Disney bertajuk ‘Ice Princess’ ketika berusia 12 tahun.

Demi memastikan dirinya berjaya mencapai impiannya itu, dia sanggup melakukan apa sahaja dan komited dalam usaha memantapkan kemahirannya meskipun perlu bangun seawal jam 4.30 pagi untuk berlatih sebelum pergi ke sekolah.

Berasal dari negara Islam yang konservatif, bapa Zahra sememangnya tidak bersetuju apabila dia ingin bertanding.

Bapanya merasakan ia bertentangan dengan budaya dan tradisi mereka. Keputusan bapanya itu sedikit sebanyak menghalang kebolehannya pada usia remaja.

Ibu Zahra sendiri mengakui mengambil masa yang agak lama untuk memujuk suaminya demi memberi izin kepada anaknya untuk menyertai sukan tersebut. Apatah lagi dengan kostum yang menjolok mata.

Walau bagaimanapun, keadaan berubah selepas bapanya sendiri melihat Zahra dapat beraksi dengan begitu baik sekali.

Malah, keyakinannya semakin bertambah selepas melihat kostum yang digayakan tidak terlalu menjolok mata. Malah, ayah Zahra kini merupakan penyokong utamanya!

Zahra mengakui bahawa sentiasa komited kerana dia percaya bahawa luncur ais merupakan kombinasi seni dan sukan.

Semangat dan minat yang tinggi dalam sukan luncur ais membuatkan dia sentiasa fokus untuk mencapai matlamatnya.

Dalam masa yang sama dia turut mengabaikan segala negativiti dan halangan yang mendatang. Antara matlamatnya termasuklah mewakili UAE pada Sukan Olimpik Musim Sejuk.

Bak kata pepatah, hendak seribu daya, tak nak seribu dalih. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.