Gaya Hidup

Didenda RM100,000, Ini Luahan Sayu Penyebar Filem Munafik 2

KELMARIN Mahkamah Majistret Taiping Asmadi Hussin mengarahkan seorang lelaki, Muhammad Izwan Shah Kamal Shah untuk membayar RM100,000 kepada Skop Productions.

Ini berikutan kesalahannya menyebarkan secara haram filem Munafik 2 di laman Instagram dan Facebook miliknya yang menggunakan nama Sasuke Kun.

Sementara itu, Izwan menerusi laman Facebook peribadi miliknya, mengakui menyesali perbuatannya. Dia meluahkan perasaan sehingga mendapat perhatian netizen.

Berikut adalah luahannya:

“Saya yang bernama Muhammad Izwan Shah ingin memohon maaf kepada pihak Skop Production terutamanya kepada Datuk Yusof Haslam dan anak beliau Syamsul Yusof kerana saya telah menyusahkan Datuk dalam beberapa bulan ini.

“Dan juga ingin memohon maaf kepada P.A Datuk dan adik perempuan Datuk sendiri kerana telah mengeluarkan kenyataan yang menyinggung perasaan mereka.

“Saya sekali lagi dengan rasa rendah diri menyatakan saya amat menyesal dengan kesalahan yang telah saya lakukan. Tindakan makhamah mengeluarkan perintah supaya membayar RM100,000 sebagai ganti rugi kepada pihak Skop betul-betul membuatkan saya tersentak.

“Tapi saya sangat-sangat bersyukur kerana tidak dikenakan hukuman penjara.  Sekurang-kurangnya saya masih berkesempatan untuk menjaga kedua dua ibu bapa saya yang kian meningkat usia.

“Saya tak kisah saya tak ada kereta, tak ada rumah sendiri, walau tak ada jodoh sekalipun (tak kahwin)… yang penting saya masih diberi peluang untuk menjaga ibu bapa saya.

“Biarpun sepanjang hayat saya bekerja keras semata-mata untuk membayar ganti rugi kepada pihak Skop, nilai RM100,000 tu teramatlah besar bagi orang biasa macam saya, mustahil untuk saya mendapatkan jumlah tersebut walau saya dapat hidup 100 tahun sekalipun.. Tapi saya berjanji saya akan bayar juga walaupun sikit-sikit kepada pihak Skop.

“Inilah pengajaran untuk saya yang Allah turunkan dan saya berharap sangat ini juga boleh menjadi pengajaran untuk orang lain.

“Mana-mana individu kat luar sana yang berhasrat atau sedang giat melakukan aktiviti-aktiviti sharing link mahupun aktiviti-aktiviti yang melanggar hak cipta ini tolonglah hentikan, kerana negara kita ada undang-undang.

“Jangan anggap benda ni mudah dan ringan kerana saya pun macam tu juga permulaannya tapi tengoklah sekarang.. kesan dan implikasinya yang saya sedang hadapi,” antara yang ditulis oleh Izwan.

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak perbuatan buruk padahnya. Sama-samalah kita mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku. –KLICK.MY