Sensasi Viral

Mangsa Rasis, Peserta The Voice Pertama Bertudung Undur Diri

AKIBAT cemuhan melampau netizen, peserta wanita kacukan Perancis-Syria, Mennel Ibtissem menarik diri daripada program realiti nyanyian The Voice.

Sebelum ini Mennel, 22, telah dicemuh oleh netizen selepas beberapa tweet yang dibuatnya dua tahun lalu dibongkar dan dikaitkan seolah-olah dia menyokong keganasan.

Peserta berhijab pertama itu akhirnya mengumumkan menarik diri daripada The Voice menerusi akaun media sosialnya di Facebook.

“Saya ada mesej penting untuk kalian semua. Sebagai seorang penyanyi, tujuan saya menyertai rancangan realiti The Voice bagi menyatukan orang ramai, bukan memecah belahkan, juga membuka minda, bukan menjadikan mereka jumud.

“Saya percaya dengan nilai kemanusian dan kebaikan manusia. Saya percaya juga masa depan kita harus dibina dengan cinta, keamanan dan toleransi. Malah, saya percaya dengan rakyat di negara ini.

“Semenjak beberapa hari lalu, saya terpaksa mengharungi saat getir apabila saya menerima terlalu banyak tumpuan dan cemuhan orang ramai.

“Saya tidak pernah ada niat untuk menyakiti sesiapa malah tujuan dan mesej saya telah disalah anggap sehingga menyakitkan diri saya dengan begitu dahsyat.

“Oleh yang demikian, hari ini saya memutuskan untuk tarik penyertaan saya dari rancangan itu (The Voice),” luah Mennel.

Walau bagaimanapun, Mennel memilih terus positif kerana menganggap keputusan yang dilakukan merupakan peluang dan batu loncatan untuk terus membina karier nyanyian selepas ini.

“Keputusan ini merupakan sebuah permulaan untuk saya membina karier muzik saya dan menggangap ini juga adalah satu kejayaan. Saya akan terus memanfaatkan peluang yang ada untuk terus sebarkan mesej dan niat sebenar saya.

“Saya akan teguh berdiri dengan senyuman dan saya tidak akan biarkan ketakutan menguasai diri saya,” ujar Mennel.

Berikut merupakan persembahan memukau Mennel sepanjang rancangan The Voice. –KLICK.MY

Sumber: Astro Awani

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.