Hiburan Terkini

Datuk Fazley Kongsi Keputusan SPM, Pelajar Gagal Jangan Kecewa

KELMARIN calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 telah menerima keputusan masing-masing. Tahniah diucapkan kepada semua calon sama ada keputusan mereka cemerlang atau tidak.

Sempena perolehan keputusan itu, selebriti dan juga chef popular, Datuk Fazley Yaakob berkongsi keputusan SPM miliknya yang diduduki pada tahun 1995 di Instagram.

Fazley memperolehi 8A dalam semua mata pelajaran yang diambil. Chef selebriti ini juga menasihati agar calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 tidak kecewa dengan keputusan yang diperolehi kelmarin.

Jelasnya, mereka sebenarnya telah berjaya melepasi satu cabaran besar di dalam dunia akademik.

“Ramai juga yang PM (private message) saya kerana kecewa dengan keputusan masing-masing kerana tidak mendapat apa yang diharapkan.

“Semua orang telah pun berusaha sehabis baik tetapi keputusan yang keluar tidak semestinya apa yang kita harapkan 100%, jangan kecewa! Ini baru permulaan.

“Work smart towards your future, you have just opened the ‘door of life’, SPM anda menjadi kunci tidak kira apa jua keputusannya. Be positif, dan jangan mudah mengalah,” tulisnya di Instagram (IG).

Bahkan, selebriti berusia 40 tahun ini turut berkongsi pengalamannya sendiri.

 “Saya ingin menjadi seorang peguam ataupun arkitek, tetapi semua universiti yang saya mohon hanya tawarkan saya Accounting & Finance dan itulah yang saya teruskan akhirnya di Victoria University of Wellinton New Zealand akhirnya.

“Namun kini? Saya juga graduan dari Le Cordon Bleu (Paris) dan University of Reims Champagne-Ardenne (France) yang akhirnya membantu saya menceburi bidang yang tidak pernah saya jangkakan, iaitu kulinari,” tulisnya.

Apa yang penting ialah semangat dan jangan sesekali putus asa. Jalani kehidupan seperti biasa dan jadikan keputusan SPM anda itu sebagai pemangkin semangat. –KLICK.MY

 

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.