Hiburan Sensasi Terkini

Dalam Masa Sehari, ‘Di Matamu’ Sufian Suhaimi Capai 2 Juta Tontonan

SAMBUTAN luar biasa yang diterima oleh penyanyi Sufian Suhaimi terhadap video lagu baharunya berjudul Di Matamu begitu mengejutkan.

Sufian yang meluahkan rasa syukur berkata, dia tidak sendiri tidak sangka lagu tersebut akan mencapai sehingga dua juta kali tontonan  di laman YouTube, hanya dalam masa sehari dimuat naik.

“Alhamdulillah, syukur muzik video lagu tersebut mendapat sambutan penonton di YouTube hingga mencapai jumlah satu juta tontonan kurang 24 jam dan mencecah dua juta dalam masa sehari.

“Perasaan ketika ini susah untuk digambarkan, gembira dan dalam masa sama berterima kasih kepada semua.

“Saya harap semua orang sukakan lagu Di Matamu dan terus memberi sokongan terhadap lagu-lagu saya,” katanya ketika dihubungi mStar Online.

Sufian tidak menolak kemungkinan isu putus tunang dengan pelakon Elfira Loy turut memberi impak positif terhadap lagu tersebut.

Bagaimanapun, dia sekali lagi menegaskan lagu tersebut tiada kaitan dengan kisah hubungannya dengan Elfira.

“Saya tak tolak kemungkinan isu lalu membuatkan lagu ini jadi hit dalam masa cepat dan pendengar berasakan ia ada kaitan dengan kisah hidup saya.

“Namun saya nak tegaskan ia tak ada kena mengena dengan apa yang telah berlaku kerana lirik lagu tersebut sudah dicipta sejak tahun lalu dan memang saya bercadang untuk keluarkan lagu tersebut pada tahun ini.

“Jadi, lagu ini bukanlah dicipta selepas berakhirnya hubungan saya dan Elfira. Cuma semua yang terjadi ini seperti kebetulan sama dengan maksud lirik tersebut,” katanya.

Sebelum ini pihak keluarga Elfira mengesahkan sudah bertemu dengan keluarga Sufian untuk memulangkan cincin pertunangan mereka pada 18 Februari lalu.

Berkaitan: Bapa Elfira Pulang Cincin Tunang Kepada Keluarga Sufian Suhaimi

Pasangan itu mengikat tali pertunangan pada 6 Oktober 2017 dan sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada Jumaat lalu, yang bertukar menjadi hari pelancaran video muzik Di Matamu.

Sehingga kini Di Matamu menerima lebih 2.4 juta tontonan. –KLICK.MY