Hiburan

Dakwa Berlian Pemberiannya Palsu, Vida Pula Tuntut Aishah Mohon Maaf

BEBERAPA hari yang lepas penyanyi dan juga juara program Gegar Vaganza musim keempat (GV4), Aishah menuntut usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida memohon maaf dalam masa tujuh hari berkenaan barang kemas palsu yang dihadiahkan kepadanya semasa menjuarai program tersebut.

Berkaitan: Aishah Beri Tempoh 1 Minggu Kepada Datuk Seri Vida Mohon Maaf

Namun, hari ini giliran Vida pula mengadakan sidang akhbar bagi menuntut Aishah supaya membuat permohonan maaf kerana menggunakan perkataan berlian palsu terhadap barang kemas yang dihadiahkannya itu.

Menurut Vida, perkataan berlian palsu itu telah memberi impak besar kepada perniagaannya.

“Mula-mula Aishah kena minta maaf dok royak (cakap) palsu-palsu mengenai berlian tapi saya bagi berlian sahaja ke? Tak… rantai emas putih lepas tu ‘sapphire’ dan seluruh barangan kemas itu dikatakan palsu.

“Dahlah bagi perkataan palsu, awak tahu tak impak tu habis rosak keseluruhan bisnes saya terutama kedai emas saya terjejas teruk.

“Tak pasal-pasal sebab satu perkataan itu habis rosak susu sebelanga. Jumlah kerugian sales merudum 70 peratus, merudum kedai emas saya termasuk produk-produk saya,” katanya pada sidang media tersebut.

Bagi menjernihkan kemelut antara mereka, Vida turut mengajak Aishah untuk bertemu.

“Kita jumpa dekat mana-mana. Tak kisah saya jumpa dia atau dia jumpa saya. Saya terbuka nak jumpa dia bila-bila masa, nak jumpa malam ini ke esok ke saya ok,” katanya.

Selain itu, Vida turut menuntut Aishah supaya memadam segala kenyataannya berkaitan berlian palsu itu di media sosial.

“Buang perkataan palsu itu. Penterjemahan awak lain, penterjemahan saya lain. Saya keluar ‘pitih’ (duit), awak hanya menerima rantai itu,” ujarnya.

Ketiga-tiga perkara itu merupakan tiga tuntutan Vida yang difailkan terhadap Aishah menerusi peguamnya, Zailan Mohamed.

Tuntutan tersebut sudah dihantar kepada peguam Aishah melalui satu surat yang dihantar pada Selasa lalu.

Menurut Vida, jika Aishah sanggup menunaikan tiga tuntutan tersebut, beliau bersedia memohon maaf kepada penyanyi tersebut.

Malah, katanya beliau akan mempertimbangkan untuk menggantikan rantai berlian tersebut dengan barang kemas lain.

“Kita akan pertimbangkan dengan barang kemas yang sama nilai berdasarkan penilaian saya,” katanya.

Sementara itu, Zailan berkata jika Aishah masih enggan mengadakan pertemuan, kes tersebut akan diselesaikan di mahkamah. KLICK.MY

Sumber: mStar Online

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.