Viral

Cuba Bantu Penduduk, Jururawat Palestin Maut Ditembak Tentera Israel

TENTERA Israel menembak mati seorang jururawat wanita Palestin ketika mangsa cuba membantu seorang penduduk yang cedera di Khan Younis, sempadan Gaza.

Kematian Razan Al-Najjar, 21, menjadikan jumlah penduduk yang terkorban sejak bantahan besar-besaran bermula 30 Mac lalu di Semenanjung Gaza mening­kat kepada 119 orang.

Seorang saksi berkata, Razan yang merupakan sukarelawan perubatan ditembak ketika sedang berlari ke arah pagar sempadan untuk memberi bantuan kepada seorang mangsa yang cedera.

Mangsa yang memakai pakaian­ putih secara jelas mengangkat tangan namun tentera rejim Zionis terus menembak wanita itu di bahagian dada, kata saksi yang enggan dikenali.

Jurucakap tentera Israel tidak memberi sebarang kenyataan tentang pembunuhan Razan namun rejim Zionis mendakwa kumpulan pejuang Palestin bertindak menye­rang kedudukan tentera menggunakan senapang dan bom.

Sebelum ini, pegawai-pegawai tentera Israel memberitahu, pe­nembak tepat tentera hanya me­nyasarkan individu yang memberi ancaman namun terdapat kejadian peluru yang dilepaskan melantun dan mengenai orang awam.

Menurut pegawai-pegawai perubatan Gazan, sekurang-kurangnya 100 penduduk Palestin cedera ditembak oleh tentera Israel dalam bantahan semalam.

Sementara itu dalam kenya­taan berasingan, tentera Israel memaklumkan pihaknya bertindak menyuraikan beribu-ribu penunjuk perasaan di lima lokasi.

Pihak berkenaan memberi­tahu, kenderaan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) telah ditembak dan seorang suspek dikenal pasti menyeberang pagar keselamatan di utara Semenanjung Gaza dan menanam bom yang kemudian meletup semasa suspek kembali ke kawasan terbabit.

Sehingga kini tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan di pihak Israel sepanjang bantahan itu namun Israel mendakwa tanah ladang miliknya rosak teruk akibat ‘bom layang-layang’ dari Gaza.

Jumlah penunjuk perasaan yang berhimpun berkurangan berbanding minggu sebelum­nya namun dijangka meningkat minggu depan sempena ulang tahun penjajahan Israel terhadap Semenanjung Gaza dan Tebing Barat serta Baitulmuqaddis Timur semasa perang 1967.

Dalam kejadian lain, tentera Israel menembak mati seorang penduduk Palestin yang cuba merempuh pasukan keselamatan menggunakan kereta yang dipandunya di Tebing Barat. –Agensi

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.