Viral

Cerita Sebenar Video Kanak-Kanak Rebut Makanan Pelancong

BARU-BARU ini tular di media sosial sebuah video menunjukkan sekumpulan kanak-kanak orang laut mengerumuni sebuah bot berebut-rebut untuk mendapatkan makanan yang dibawa oleh pelancong.

Status yang dimuat naik bersama video yang ditularkan itu mengundang salah faham ramai pihak sehingga ada yang mendakwa pelancong itu menjadi mangsa rompakan sekumpulan lanun.

Susulan kejadian tersebut, seorang wanita yang dikenali sebagai Amirah tampil berkongsi satu kemas kini melalui facebook Pakej Pulau Semporna untuk menjelaskan perkara sebenar yang berlaku pada hari kejadian.

Malah, dia turut mengakui bahawa dia merupakan individu yang bertanggungjawab mengambil rakaman tersebut yang berlaku pada 28 Jun, kira-kira jam 10.06 pagi di Pulau Tetagan, Sabah.

Amirah turut menjelaskan bahawa dia tidak mengenali individu yang bertanggunjawab menyebarkan video tersebut dan menularkan cerita tidak betul, bagaimanapun mengakui ada berkongsi rakaman tersebut dengan dua orang kenalan rapatnya.

“Ketika kejadian berlaku, kami berada di Pulau Tetagan untuk melakukan aktiviti island hoping. Kami pergi empat tempat, pertama Tetagang, kedua Bohey Dulang, ketiga Mantabuan dan yang terakhir ke Pulau Sibuan,” kata Amirah ketika menjelaskan apa yang berlaku.

‘‘Dalam rakaman yang tular itu, seorang auntie ini mahu mengagihkan makanan itu kepada mereka (orang laut), tapi mereka pula berebut-rebut. Awal-awal lagi saya sudah maklumkan dalam pertemuan dengan kumpulan pelancong itu kalau nak bawa makanan untuk dibahagi-bahagikan dengan mereka di Tetagan nanti boleh.

“Kalau tak mahu pun boleh. Sebab mereka ini agresif. Mereka ini kalau tak diberi makanan pun tak apa, cuma kalau diberi mereka akan berebut-rebut.

“Tetapi mereka bukan perompak, penyamun atau lanun. Kalau tidak diberi makanan atau lain-lain mereka pun tidak memaksa,” tulisnyanya.

Amirah turut memberitahu bahawa kumpulan pelancong tersebut membawa bekalan makanan kering seperti mi segera dan keropok untuk diagihkan kepada kumpulan orang laut tersebut.

Katanya lagi, kejadian seperti video yang tular itu sering terjadi setiap kali ada pelancong yang berhajat untuk mengagihkan makanan kepada kumpulan orang laut itu.

“Dalam rakaman tersebut, saya ada melarang mereka daripada berebut-rebut di dalam bahasa Bajau. Saya tegaskan saya ada melarang dan menggunkan bahasa yang mereka faham. Sekiranya saya menggunakan bahasa Melayu, mereka tidak faham.

“Malah, saya turut memberi isyarat kepada auntie itu supaya berhenti daripada mengagihkan makanan kerana takut lebih ramai yang datang. Kami kemudian meneruskan perjalanan mengelilingi kampung mereka,” katanya lagi.

Amirah turut memaklumkan orang ramai yang berhajat untuk melancong ke sana tidak perlu merasa bimbang kerana ia perkara biasa dan belum pernah perkara tidak diingini berlaku berpunca daripada kejadian seperti yang ditularkan. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.