Hiburan Terkini

Bukan Propa, Ifa Raziah Tayang ‘Body’ Bukti Diri Dah Kurus

VIDEO penyanyi Ifa Raziah berpakaian seksi sedang mempromosi produk tular di media sosial sehingga mendapat kecaman netizen.

Dalam video tersebut, Ifa kelihatan memakai gaun ketat singkat tanpa lengan. Pakaiannya itu dikatakan keterlaluan dan netizen menyifatkan Ifa seorang yang tidak beriman.

Namun, seperti yang dilaporkan Harian Metro Online, Ifa mempertahankan penampilan seksinya itu.

Menurut Ifa, video itu sengaja dimuat naik di laman sosial kerana ingin membuktikan dirinya sudah kurus dan bukan menggunakan teknik suntingan.

“Niat saya memang nak tunjuk. Selama ini saya buat promosi produk di IG orang cakap gambar hasil suntingan. Malah tunjuk gambar sebelum dan selepas pun orang tak percaya.

“Apabila saya tunjuk penampilan sebenar, orang kecam pula. Kalau tak tunjuk kata saya propa dan menipu. Kenapa susah sangat nak terima hakikat yang saya sudah kurus?

“Lagi pula dalam video berkenaan saya bukannya berbogel. Orang kita terlalu cepat menjatuhkan hukum tanpa ambil tahu cerita sebenar.

“Kalau yang menonton video ‘live’ saya pada waktu berkenaan, pasti tahu,” jelasnya.

Walaupun teruk dikecam, Ifa berterima kasih kepada pihak yang menularkan video terbabit kerana dalam sehari produknya yang membantu menurunkan berat badan habis terjual sebanyak 1,000 kotak.

“Pada hari video dirakam, kebetulan saya dan suami menyambut ulang tahun perkahwinan ke-14, Selasa lalu. Jadi, anak, keluarga dan peminat hadir memberikan kejutan.

“Memandangkan majlis dibuat di jakuzi rumah, saya ambil kesempatan rakam video itu. Sebenarnya, gaun itu ada lapisan luar. Namun, disebabkan ia labuh jadi tidak sesuai untuk berjalan atas air.

“Lagi satu, sebelum ini pun saya pernah pakai baju tanpa lengan. Kenapa tidak ada yang tularkan? Adakah sebab ketika itu saya gemuk atau tak cantik?” katanya.

Tak salah nak buktikan kita tidak berbohong tetapi mungkin ada cara lain selain berpakaian sedemikian.

Apapun, kami percaya Ifa sudah kurus dan tidak berbohong. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen