Luar Negara Terkini

Bukan Lagi Luar Biasa, Gurun Sahara Diliputi Salji Kali Ke-2

BUKAN lagi perkara luar biasa saat salji turun di sebahagian Gurun Sahara kelmarin. Tahun ini sahaja, sudah dua kali salji turun sehingga bandar Ain Sefra di Algeria diliputi salji.

Pada awal Januari lalu, salji setebal sehingga 40 sentimeter meliputi bandar tersebut dan kawasan sekitarnya mulai awal pagi hingga petang.

Kali terakhir salji turun di kawasan itu ialah pada Disember 2016 selepas 37 tahun dan kelmarin, orang ramai serta kanak-kanak bermain salji yang menutupi pasir di luar bandar berkenaan.

Pada 2016, bandar itu yang digelar ‘Pintu Masuk Ke Gurun’, diliputi salji tebal pada hujung tahun menyebabkan situasi jadi kelam-kabut dengan penumpang terkandas dalam bas akibat jalan raya menjadi licin.

Sebelum ini, kali terakhir salji turun di Ain Sefra ialah pada 18 Februari 1979 selama setengah jam. Ain Sefra terletak lebih 1,000 meter dari paras laut dan dikelilingi pergunungan Atlas.

Suhu normal bandar itu pada hujung dan awal tahun ialah sekitar enam hingga 12 darjah Celsius. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen