Viral

Bukan Kes Culik, Tetapi Gangguan Lelaki Kurang Siuman-Ibu Mangsa

SATU rakaman daripada kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang kanak-kanak perempuan nyaris diculik oleh seorang lelaki di sebuah masjid pada Jumaat lalu tular di media sosial.

Tindakan pantas seorang wanita yang juga ibu kepada kanak-kanak tersebut berjaya menyelamatkan anaknya itu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, wanita itu yang juga seorang guru tadika menghadiri kelas agama bersama dua anak perempuannya di Masjid Al-Ikhlas Taman Seri Melati, Selayang Jaya.

Namun, kejadian tersebut bukanlah kes penculikan seperti yang tular tetapi ia melibatkan lelaki kurang siuman.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, ketika itu salah seorang anak wanita berkenaan telah keluar ke kaki lima masjid untuk mencuci tangan dan seorang lelaki telah memegang serta cuba mengangkat anaknya.

“Ibunya terus bergegas keluar untuk menarik anaknya masuk ke dalam masjid dan suspek berlegar-legar di kawasan sekitar sebelum beredar tidak lama kemudian.

“Menurut keterangan wanita tersebut, suspek disyaki seorang kurang siuman,” katanya seperti dilaporkan Kosmo! Online,

Pihaknya turut menafikan bahawa ia adalah kes cubaan culik seperti yang diviralkan di laman media sosial Facebook hari ini.

Samsor menambah, menurut saksi iaitu setiausaha di masjid itu, Mohd. Nur Afzan Ab. Wahab, pihaknya tidak menyedari kejadian tersebut tetapi setelah melihat rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), beliau mengecam bahawa suspek adalah mualaf dan baru memeluk Islam pada tahun lalu.

“Beliau memberitahu bahawa suspek dipercayai kurang siuman kerana sering bercakap seorang diri namun dia sering hadir ke masjid untuk bersolat.

“Saksi juga sering mengajar suspek kaedah mengerjakan solat dengan betul dan turut memaklumkan kepada saksi bahawa dia menetap di kawasan Intan Baiduri di sini,” ujarnya.

Usaha untuk mengesan suspek sedang giat dijalankan bagi mengetahui fakta sebenar kes tersebut. –KLICK.MY