Hiburan

Buah Pinggang Bocor, Pelawak Ebby Yus Hilang Punca Pendapatan

PELAWAK Ebby Yus hilang mata pencarian dalam bidang seni setahun lalu selepas doktor mengesahkan dia mengalami masalah buah pinggang bocor dan jantungnya kembali lemah.

Menurut Ebby atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid mengakui keadaannya kini lemah.

“Memang saya mempunyai masalah jantung sudah lama dan masih mengambil ubat yang dibekalkan doktor.

“Namun sejak enam bulan yang lalu penyakit lain pula kini datang. Doktor mengesahkan saya mengidap penyakit buah pinggang bocor dan kini sudah peringkat tiga,” katanya.

Keadaan kesihatannya itu menyebabkan dia tidak mampu bekerja

“Kali terakhir saya menerima tawaran mengacara program Meja Bulat di TV3, itupun dibuat secara rakaman tahun lalu.

“Pada sesi rakaman itu pun saya sudah tidak sihat, badan lemah, perut dan kaki semakin membesar disebabkan masalah buah pinggang,” ujarnya.

Menurut Ebby, dia tidak mampu bergerak jauh sehingga terpaksa menolak tawaran berlakon di luar Kuala Lumpur.

Kini dia lebih banyak berehat di rumah dan sekiranya ada tawaran rakaman studio, dia sedaya upaya gagahkan diri untuk memenuhinya.

“Apa lagi yang boleh saya buat untuk meneruskan hidup, kalau bukan dalam bidang seni.

“Perniagaan restoran dengan rakan kongsi tidak lagi diteruskan kerana tidak untung, malah saya terpaksa menyerahkan kereta saya kepada orang kerana tidak mampu membayarnya lagi,” jelasnya.

Semoga pelakon kesayangan ramai ini kembali pulih. –KLICK.MY

Sumber: Berita Harian Online