Hiburan

Bruno Mars Berang, Baling Tuala Kat Peminat Sibuk Swafoto

MERASAKAN seorang peminat tidak menghormatinya ketika membuat persembahan, penyanyi terkenal Bruno Mars naik angin hingga membaling tuala kepada individu terbabit.

Kejadian berlaku ketika Bruno membuat persembahan di Jepun. Dia bertindak sedemikian apabila peminat berkenaan tidak henti-henti berswafoto di hadapan pentas.

Peminat terbabit merupakan pelakon dan model dari Jepun, Moeka Nozaki yang leka berswafoto walaupun Bruno telah memberikan isyarat kurang senang berulang kali.

Namun amaran Bruno tidak diendahkan hingga penyanyi itu rasa terganggu dan menganggap Nozaki tidak menghormatinya serta penonton-penonton lain.

Bruno yang beberapa kali memberikan isyarat tangan agar Nozaki berhenti melakukan perbuatannya itu, akhirnya membaling sehelai tuala kepada pelakon itu dalam keadaan marah.

Bagaimanapun tindakan penyanyi yang popular dengan lagu 24K Magic itu dianggapnya pula sebagai “hadiah” dan dikongsikan Nozaki di Instagram dengan gembira.

Segelintir peminat setia Bruno menganggap perbuatan Nozaki itu menjengkelkan dan berharap dia meminta maaf kepada penyanyi dan peminat lain di acara tersebut.

Bruno akan mengadakan siri jelajah di Axiata Arena, Kuala Lumpur pada 9 Mei ini sempena Konsert 24K Magic World Tour.

Justeru, buat peminat-peminat Malaysia, jagalah kelakuan anda dan jangan sibuk berswafoto sehingga menganggu orang lain kelak ya. –KLICK.MY

Tambah Komen

Klik di sini untuk komen